berita

Didera Kejam, Rahang Ditendang Hingga Retak, ‘The Unsung Hero’ Sybil Korban Nyawa Pertahan Tanah Melayu

August 26th, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Pernah dijadikan Google Doodle suatu ketika, Sybil Kathigasu dikenali dengan keberanian dan pengorbanan dalam mempertahankan negara sewaktu Tanah Melayu di bawah Penjajahan Jepun

Beliau merupakan jururawat berbangsa Eurasia, juga seorang pejuang kebebasan wanita yang telah menyelamatkan ramai nyawa khususnya ratusan kaum Cina sewaktu Jepun cuba menakluki Malaya. Beliau dianggap sebagai ikon kerana sanggup menggadai nyawa demi membela nasib bangsa Tanah Melayu.

Bagi bantuan perubatan

Sybil yang dilahirkan di Medan, Sumatera, Indonesia telah menguruskan sebuah klinik di Jalan Brewster bersama suaminya iaitu Dr. Abdon Celement Kathigasu yang kini dikenali sebagai Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh, Perak. Bagaimanapun pada tahu 1942, sewaktu Jepun menjajah Tanah Melayu, pasangan Kathigasu ini telah bersembunyi dan berpindah ke Pekan Papan, Perak yang majoritinya didiami oleh masyarakat Cina.

Sybil yang fasih berbahasa Kantonis menggunakan kelebihan tersebut untuk berkomunikasi dengan pesakit yang tergolong daripada semua bangsa di Tanah Melayu terutamanya Cina.

Pasangan ini juga turut memberikan bekalan ubat-ubatan, perkhidmatan perubatan dan berkongsi maklumat serta rahsia semasa yang diperolehi daripada Radio BBC. Bagaimanapun sambil menghulurkan bantuan perubatan, Sybil juga dalam diam terlibat menyebarkan maklumat kepada gerakan bawah tanah melalui rumah kedai dispensari Kathigasu di Papan.

Tembelang pecah

Sebaik Jepun mengesan kegiatan mereka memberi bantuan kepada kepala gerila anti-Jepun, pasangan Kathigasu telah ditangkap dan diseksa dengan teruknya. Pada peringkat awal pihak Jepun tidak dapat menghidu kegiatan mereka kerana Sybil berbangsa lain dan dianggap tidak mampu berbahasa Cina.

Semasa di dalam tahanan, tentera Jepun tidak berhenti melakukan penyeksaan demi penyeksaan bagi mendapatkan maklumat dari Sybil dan suami berkenaan pejuang anti-Jepun. Walaupun akan dikenakan hukuman pancung, pasangan ini langsung tidak mengeluarkan apa apa maklumat kepada pihak Jepun.

Sybil dan suami langsung tidak diberi makan dan minum sepanjang berada dalam tahanan, mereka diseksa dengan teruk semata-mata demi maklumat yang diinginkan. Mereka juga dipukul dengan besi panas, kuku dicabut, jarum ditusuk di bawah kuku dan banyak lagi hukuman ngeri yang lain yang dilakukan.

Diseksa tanpa henti

Beliau juga dipukul, dibakar dan ditendang di bahagian tulang rahang dalam cubaan menundukkannya bagi menceritakan segala maklumat sulit yang diketahui mereka. Selain itu, anak perempuan kepada pasangan ini yang masih berusia 5 tahun telah digantung di pokok dan para penyeksa mengugut untuk membakarnya secara hidup-hidup dengan meletakkan arang di bawahnya.

Beliau yang tidak dapat berjalan akibat seksaan itu juga kehilangan semua kuku jarinya, tengkorak kepalanya retak dan mengalami lumpuh pada sebahagian tubuhnya. Apa yang paling menyeksakan yang dikenakan kepadanya ialah ujian Wain Tokyo di mana air dimasukkan melalui hidung Sybil dan penyeksa akan memijak-mijak perut Sybil bagi mengeluarkan kembali air dari badannya.

Tidak cukup dengan itu, setelah Kempetai Jepun membocorkan maklumat berkaitan tugas beliau, beliau telah disumbat ke dalam Penjara Batu Gajah pada tahun 1943. Walaupun penyeksaan demi penyeksaan diberi kepada beliau, Sybil masih utuh tidak membuka mulut dan tidak pernah sekalipun beliau mendedahkan maklumat sulit mengenai gerakan anti-Jepun itu. Beliau sanggup menahan segala keperitan tersebut bagi melindungi gerakan anti-Jepun walaupun kesihatannya terjejas teruk akibat dari penyeksaan itu.

Terpaksa berpura-pura mengatakan bahawa beliau tidak tahu langsung pihak yang mereka bantu selama ini merupakan anggota gerila anti-Jepun, akhirnya Sybil Kathigasu menyerah kalah dengan penyeksaan pihak Jepun yang dikenakan atas beliau. Beliau juga menegaskan bahawa mereka memberikan bantuan kepada semua tanpa mengira bangsa. Disebabkan kenyataan itu, suami beliau terus dikenakan hukuman gantung manakala Sybil pula terus dipenjarakan.

Penerima Pingat George

Setelah dua tahun diseksa semasa berada di dalam tahanan Jepun, Sybil berjaya bertahan dalam menempuhi era Perang Dunia Kedua yang tamat pada Ogos 1945. Walaubagaimanapun, Kapten David dari pasukan tentera British kembali ke Tanah Melayu lalu mencari Sybil di Penjara Batu Gajah. Sybil yang dibebaskan itu dibawa pulang semula ke Papan, Perak sebelum diterbangkan ke England bagi menerima rawatan lanjut.

Bagaimanapun kecederaan yang dialami beliau tidak pulih sepenuhnya dan terlampau teruk. Beliau juga mengalami keretakan tulang belakang akibat pukulan yang diterimanya dan itu juga menyebabkan beliau mengalami lumpuh sebahagian tubuh. Beliau yang menjalani pelbagai pembedahan bagi memulihkan kembali kesihatannya juga hanya mencapai kejayaan yang terhad.

Walaubagaimanapun, beliau telah berusaha berjalan sendiri tanpa bantuan sesiapa bagi menghadiri upacara di mana Raja George VI telah menganugerahkannya Pingat George bagi menghargai keberaniannya dan tanda penghormatan atas pengorbanan beliau semasa tempoh Penjajahan Jepun. Dengan penganugerahan itu sekaligus menjadikan Sybil sebagai satu-satunya wanita di Malaysia yang pernah menerima Pingat George.

Perginya seorang wira..

Malangnya pada 12 Jun 1948, Sybil disahkan meninggal dunia di Hospital Lanark, Scotland akibat dari keracunan darah septisemia akibat keretakan rahangnya yang berpunca daripada sepakan menggunakan but oleh penyeksanya, Ekio Yoshimura. Menurut Glasgow City Medical Center, melalui bedah siasat terhadap mayat beliau didapati organ dalamannya mengalami kerosakan teruk.

Jenazah beliau telah dikebumikan di tanah perkuburan Lanark, Scotland pada tahun yang sama. Setelah setahun dikebumikan, jenazah beliau telah dibawa kembali semula ke Ipoh dan dikebumikan kembali di tanah perkuburan Roman Katolik yang terletak bersebelahan Gereja St. Michael yang bertentangan dengan Main Convent of the Holy Infant Jesus yang kini SMK Convent di Brewster Road (kini Jalan Sultan Idris Shah) di Ipoh.

Malahan itu, sebuah jalan utama di Fair Park, Ipoh mengabadikan nama beliau selepas merdeka bagi memperingati jasa dan keberaniannya dan jalan itu diberi nama Jalan Sybil Kathigasu. Sehingga hari ini, tiada lagi wanita di Malaysia yang memberi perkhidmatan dan kesihatan seperti yang dilakukan beliau. Rumah kedai yang terletak di 74, Jalan Utama, Papan juga telah dijadikan sebagai khazanah peringatan buat Sybil yang terletak berhampiran Rumah Raja Bilah.

Sumber : Illuminasi , Nizam Saroni , Domba2domba

SKIP THIS AD ×