berita

Dipanggil Temuduga Secara Online? Ini Antara Tips Temuduga Berkesan Anda Kena Tahu

November 18th, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Foto: The Balance Careers

Sebelum ini, kebanyakan temuduga dilakukan secara fizikal. Berbeza dengan sekarang, di mana situasi pandemik di negara kita semakin membimbangkan. Temuduga secara online menerusi panggilan video mungkin akan terjadi. Kebanyakan syarikat akan mengambil langkah selamat dengan mengadakan temuduga secara atas talian, lebih-lebih lagi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan oleh kerajaan baru-baru ini.

Jika anda tidak pernah melalui temuduga secara atas talian, jangan risau kerana ini antara 5 tips yang berkesan untuk temuduga secara atas talian.

Ketahui aplikasi yang digunakan

Foto: PAEA

Anda perlu tahu beberapa aplikasi yang mungkin digunakan oleh penemuduga anda, terdapat pelbagai aplikasi panggilan video yang sering digunakan oleh penemuduga iaitu Zoom, Skype, Google Meet dan Microsoft Teams. Kebiasaannya, masa yang diperuntukkan untuk setiap temuduga secara atas talian adalah bawah 30 minit, antara 30 minit hingga 1 jam dan lebih dari 1 jam.

Jika penemuduga sudah memberitahu tentang aplikasi yang bakal digunakan, anda boleh cuba gunakan aplikasi itu sebelum ditemuduga untuk biasakan diri. Buat panggilan video menerusi aplikasi tersebut bersama rakan anda untuk memeriksa fungsi-fungsi yang ada.

Buat persediaan fizikal dan mental

Foto: Forbes

Setiap temuduga tidak kira secara fizikal atau atas talian pasti memerlukan persediaan yang rapi. Persediaan dari segi mental dan fizikal amat penting terutamanya dalam penyediaan jawapan yang baik ketika temuduga. 

Selain itu, persediaan yang harus anda lakukan adalah memeriksa kamera dan mikrofon anda. Pastikan kamera dan mikrofon berfungsi dengan baik dan jelas sebelum temuduga. Anda juga perlu memastikan capaian internet dalam keadaan yang baik untuk mengelakkan gangguan internet semasa temuduga berlangsung. Apabila internet terganggu, penemuduga juga akan terganggu sekaligus membuatkan sesi temuduga itu kurang memuaskan. Sekiranya liputan internet tidak begitu baik di kawasan anda, cuba keluar dan cari liputan internet yang baik di kawasan lain.

Periksa latar belakang panggilan video

Foto: Wistia

Sebelum temuduga, anda harus memeriksa latar belakang panggilan video anda. Pastikan anda menggunakan latar belakang yang bersesuaian, tidak bersepah dan tiada benda yang menyakitkan mata. Anda juga boleh menghalakan kamera anda ke arah dinding yang kosong. 

Latar belakang anda juga boleh ditukar di dalam aplikasi panggilan video. Pakaian semasa temuduga secara atas talian juga haruslah formal, separuh formal atau separuh kasual. Semua pakaian haruslah bersesuaian dengan jawatan yang dipohon.

Perkara yang perlu dielak semasa temuduga

Foto: Academy of Learning

Semasa temuduga, elakkan beberapa perkara ini untuk menjadikan penemuduga berpuas hati dengan anda. Pertama, elakkan daripada latar belakang yang kotor dan berserabut. Pastikan meja dan kawasan persekitaran anda bersih dan kemas. Kedua, gangguan bunyi juga haruslah dielakkan seperti bunyi kipas, bunyi kenderaan, bayi menangis atau muzik yang bising.

Seterusnya, kurangkan pergerakan kerana jika mikrofon anda sensitif, pergerakan itu akan menyebabkan gangguan bunyi semasa sesi temuduga anda.

Walaupun temuduga anda dilakukan secara online, anda harus juga menghantar resume anda melalui emel. Pastikan semua maklumat yang diberikan melalui resume sama dengan apa yang anda persembahkan semasa sesi temuduga anda.

Temuduga secara atas talian tidak jauh perbezaannya dengan temuduga biasa cuma ia memerlukan lebih banyak teknologi seperti komputer riba yang mempunyai kamera dan mikrofon serta internet yang baik. 

Sumber: Live Career.

SKIP THIS AD ×