Malang tidak berbau. Inilah yang terjadi kepada pasangan kekasih baru-baru ini apabila niat asal mereka untuk mencari rezeki di Johor akhirnya tidak membuahkan hasil, malah lebih menyedihkan mereka turut diancam dan dianiaya dengan begitu kejam oleh seorang ‘teman’.
Menerusi laporan Harian Metro, pasangan kekasih ini dikatakan ditawarkan kerja sebagai model sambilan di Johor dengan tawaran sebanyak RM3,000, namun ia sebenarnya tidak wujud seperti yang dijanjikan.
Keluarkan parang
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhari Mukhtar, mangsa wanita bersetuju dengan tawaran suspek dan dia bersama teman lelakinya bergerak ke Johor dari Kuala Lumpur pada jam 8 pagi semalam sebelum mereka diambil suspek di kawasan Pontian. Mangsa lelaki merupakan jurujual berusia 20 tahun manakala teman wanitanya berusia 23 tahun.
Katanya, mereka kemudian dibawa ke arah Lima Kedai, Gelang Patah pada jam 12.30 tengah hari. Bagaimanapun pada sejam kemudian, kenderaan yang dinaiki mereka itu berhenti di kawasan jalan mati sebelum suspek mengeluarkan sebilah parang panjang daripada belakang badan.
Dipaksa buat seks oral
Dzulkhari berkata, suspek seterusnya bertindak mengacukan parang di leher teman lelaki mangsa dan menariknya keluar dari kenderaan itu sebelum mengurungnya di bahagian belakang bonet kereta.
Apa yang lebih keji, suspek kemudian masuk semula ke dalam kereta sambil mengacukan parang ke arah mangsa wanita dan melakukan ancaman seksual.
Mangsa wanita itu telah dipaksa melakukan seks oral dan dicabul malah perbuatan itu turut dirakam sebagai ugutan supaya mangsa tidak melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.
Kerugian cecah RM60k
Tambah Dzulkhari, suspek kemudian memandu kereta sampai di kawasan kebun sawit di Pontian dan meninggalkan kedua-dua mangsa di tepi jalan.
Suspek melarikan kereta dan barangan milik mangsa termasuk beg pakaian, barang alat solek, jam tangan jenama, kad bank, sepasang kasut jenama dan telefon bimbit dan wang tunai RM 300.
Katanya, nilai kerugian dianggarkan RM60,000 dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 397 KK, Seksyen 377C KK dan Seksyen 354 KK.
Sumber: Harian Metro