Kes membabit bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuatkan ramai tertunggu-tunggu akan perkembangan semasa. Kelibat Najib yang kelihatan ketika kempen Pilihanraya Kecil Tanjung Piai walaupun mendapat sijil sakit (MC) dari menghadiri mahkamah minggu lalu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Mahkamah pagi tadi mengumumkan keputusan kes itu pada 11.34 pagi tadi oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Kesalahan dari 2011-2015
Najib diperintah membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd. Hakim membuat keputusan berkenaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.
Antara pertuduhan dihadapi adalah 3 pertuduhan pecah amanah jenayah, 3 pertuduhan pengubahan wang haram dan 1 pertuduhan salah guna kuasa berkautan dengan dana terbabit.
Perdana menteri keenam Malaysia itu dituduh melakukan semua kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.
Minta rehat 30 minit
Selepas pertuduhan dibaca, Ketua Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta mahkamah berehat selama kira-kira 30 minit. Masa itu digunakan Muhammad Shafee untuk menerangkan kepada Najib pilihan yang ada untuk membela diri.
Pilihan itu adalah memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi yang mana beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.
Keterangan dari tempat duduk saksi akan lebih meyakinkan mahkamah berbanding dua pilihan lagi. Jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.
Sumber: Astro Awani