Pelbagai cara dilakukan untuk menarik perhatian netizen yang mempunyai kuasa viral sekaligus akan mendesak pihak berkaitan untuk bertindak. Media sosial ternyata menjadi medan berkesan bagi menyelesaikan sesetengah masalah terutamanya yang berkait dengan kepentingan awam.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah ada cara tersendiri menyelesaikan isu jalan berlubang di kawasannya. Menarik dan boleh dicuba ni!
Tak sampai 12 jam sudah ditampal
Bosan dengan masalah jalan berlubang di Jalan Bukit Berlian Melaka, Dr Abu Bakar memuatnaik gambarnya berdoa di depan lubang jalan berkenaan. Ajaibnya tidak sampai sehari, masalah berkenaan diselesaikan apabila jalan sudah diturap semula.
Tidak sampai tempoh 12 jam gambar saya berada di hadapan lubang itu dimuatnaik, akhirnya semua (lubang) siap ditampal dan turap. Mungkin dengan cara begini (tular) ia lebih berkesan.
Katanya, masalah itu sudah berlarutan selama sebulan tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkaitan. Minggu lalu dia sudah memuatnaik gambar yang sama namun tiada sebarang perubahan. Perkara itu mendorongnya mengulangi tindakan sama, semalam.
Saya bekerja sama seperti orang lain dan perkara ini sudah lama berlarutan. Tempoh seminggu juga diberikan dan pagi tadi ketika dalam perjalanan pulang dari menziarahi kematian, saya lihat ia masih belum diturap.
Takkan hendak tunggu sampai benda buruk terjadi baru hendak ambil tindakan.
Khamis akan diturap sepenuhnya
Dr Abu Bakar pada pagi Selasa memuat naik beberapa foto jalan dimaksudkan sudah ditampal untuk sementara waktu. Beliau tidak putus-putus meluahkan syukur atas perubahan yang dilihat itu.
Alhamdulillah selesai kerja dan tanggungjawab saya kepada rakyat, khususnya pengguna yang melalui jalan itu.
Kurang dari 24 jam saya datang semula ke Bukit Berlian. Syukur…Doa saya di sini semalam sudah di makbulkan oleh Allah Yg Maha Esa. Katanya tampalan ini hanya untuk sementara sahaja. Hari Khamis akan diturapkan sepenuhnya. Terima kasih…Terima kasih….Terima kasih.
Sumber: Harian Metro , Abu Bakar Mohamad Diah