Sebak bercampur kagum! Itulah perasaan yang dirasai oleh kami apabila mengetahui kisah hidup gadis ini. Sudah menjadi suratan buat Izatul Nadia Mohd Zulkafli atau Izatul untuk hidup sebagai pesakit Talasemia seawal usia tiga tahun lagi.
Nampak pucat dan tidak bermaya pada luarannya, namun siapa sangka gadis berusia 20 tahun ini begitu cekal dan kuat semangat untuk meneruskan kehidupan walaupun doktor pernah meramalkan dia mungkin hanya boleh hidup sehingga umur 18 tahun sahaja!
“Ajal Maut Biar Allah Tentukan”
Hati mana yang tak sedih tapi saya yakinkan dalam diri bahawa hidup mati semuanya daripada ALLAH, kita cuma mampu berdoa dan berusaha.
Saya berfikiran positif dan dekatkan diri dengan ALLAH. Saya jadikan al-Quran sebagai pegangan hidup.
Izatul terpaksa bergantung kepada mesin Desferal sepanjang malam bagi memastikan tubuh badannya kekal sihat dan bertenaga. Ibunya akan cepat-cepat membawanya ke hospital sekiranya dia banyak tidur, mukanya pucat dan matanya kuning.
Research Pasal Penyakit Sendiri!
Anak bongsu daripada dua beradik itu tidak pernah putus asa sehingga berjaya menyambung pelajaran di Universiti Malaya dalam jurusan Sains.
Talasemia ialah sejenis penyakit genetik yang menyebabkan badan tidak berupaya menghasilkan hemoglobin secukupnya atau menghasilkan sel darah merah sempurna.
Saya pilih jurusan ini kerana mahu mengkaji lebih mendalam tentang penyakit ini dan cari penawar untuk merawatnya.
Sebagai bekas mahasiswa, kami juga berasa terpukul apabila membaca kenyataan Izatul. Mana tidaknya, yang sihat walafiat pun tidak segigih dan secekal Izatul dalam menimba ilmu di peringkat menara gading.
Semoga kisah Izatul menjadi teladan kepada kita semua untuk mengharungi hidup dengan tabah, bersangka baik dengan Allah dan sentiasa mengharapkan pertolongan dari-Nya semata-mata!
Sumber: Sinar Harian