Mengangkat tema Merdeka, pandemik Covid-19, persahabatan dan kerjaya, pasti ramai teruja untuk menyaksikan drama terbaru, Kita Merdeka yang bakal ditayangkan di TV3. Drama ini mengisahkan tentang cabaran yang ditempuhi oleh seorang pengurus pasaraya yang terpaksa berdepan dengan penularan wabak pandemik yang melanda negara.
Angkat kisah pandemik
Drama arahan Fairuz Loy ini menampilkan Azlee Khairi dan Ellisya Sandha sebagai peneraju utama turut dibantu oleh Fadzlan Hazim dan Amy Mastura. Drama berdurasi 90 minit ini bakal ditayangkan pada Sabtu, 29 Ogos ini pada pukul 10 malam. Kita Merdeka juga bakal menampilkan pelakon-pelakon hebat industri seperti Rizman Khuzaimi, Sheila Mambo, Rahim Omar, Wilma Muhammad, Keith Foo dan Izzendra.
Musuh menjadi kawan
Kita Merdeka mengisahkan tentang Luq (Azlee Khairi) yang dinaikkan pangkat sebagai pengurus pasaraya namun terpaksa berdepan cabaran yang melanda iaitu penularan wabak Covid-19 yang memberi impak besar kepada negara. Dia juga terpaksa membatalkan segala rancangan untuk pulang ke kampung setelah Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Manakal Ed (Fadzlan Hazim) yang juga merupakan rakan sekerjanya menunggu saat untuk menjatuhkan Luq. Bagi mengelakkan berlaku kerugian dan pekerja berhenti kerja, Luq telah tampil dengan pelbagai idea bagi meyakinkan mereka dan dia juga berjaya meyakinkan pihak atasan pengurusan dengan ideanya bagi mempertahankan pekerja dibawahnya.
Jangan lupa saksikan Kita Merdeka yang akan ditayangkan di TV3 pada hari Sabtu, jam 10 malam.