berita

Dua Staf Operasi LRT Laluan Kelana Jaya Positif Covid-19

December 16th, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Tidak disangkal lagi, penularan pandemik Covid-19 di negara kita semakin membimbangkan. Terbaru, dua orang staf operasi LRT laluan Kelana Jaya telah disahkan positif Covid-19 dan kini dikuarantin untuk menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor. 

Menurut perkongsian yang dimuatnaik oleh Rapid KL di Facebook, kedua-dua staf berkenaan yang bertugas sebagai pegawai stesen bertugas buat kali terakhir pada 12 Disember dan 13 Disember 2020. 

Perkhidmatan LRT masih selamat untuk digunakan

Foto: MyRapid.

Namun, insiden ini terjadi di kawasan yang tertutup. Berdasarkan siasatan pihak Rapid KL, kedua-dua staf tiada kontak dengan penumpang. Menurut kenyataan Rapid Rail, pihak pengurusan mereka yang menjadi operator LRT Laluan Kelana Jaya telah melaksanakan kerja-kerja sanitasi dan pembersihan tempat kerja staf-staf berkenaan. Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan malam tadi berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Pihak Rapid Rail berkata, semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua staf berkenaan juga telah diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin selama 14 hari seperti yang telah ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) KKM.

Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan COVID-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang.

Tren-tren pula sememangnya ditetapkan untuk membuat kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari, iaitu pada waktu puncak dan selepas operasi pada hari berkenaan. Mereka juga turut memberi jaminan bahawa perkhidmatan LRT Kelana Jaya dan rangkaian rel yang lain adalah selamat.

Peringatan supaya sentiasa mematuhi SOP

Foto: Rapid KL.

Dalam kenyataan tersebut, pihak Rapid Rail turut mengulangi peringatan supaya para pengguna sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Khususnya, pemakaian pelitu muka dan cecair pembasmi kuman. 

Langkah-langkah ini adalah penting untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di samping memudahkan KKM membuat pengesanan semula sekiranya ada kes positif #COVID19. Pihak kami adalah komited menjalankan langkah-langkah yang dapat melindungi kesihatan dan keselamatan penumpang dan juga staf.

Sumber: Facebook Rapid KL.

SKIP THIS AD ×