Di Instagram, penyanyi Khai Bahar bersyukur kerana sempat berbakti dan memberikan kebahagiaan buat ibu tersayang iaitu Allahyarham Rosnah Mohamad.
Artikel Berkaitan: Ibu Khai Bahar Meninggal Dunia Dalam Tidur
Rasa dunia gelap gelita
Menurut Khai, dia sempat berkongsi rezeki dan membahagiakan arwah yang cukup gemar dengan barangan seperti gelang, beg tangan dan juga bunga.
Mak suka sangat bunga, beg dan gelang. Dulu masa susah mak teringin macam-macam tapi duit tak ada. Sekarang ada rezeki lebih Alhamdulillah sempat bahagiakan mak walaupun sekejap. Itu pun dia tidak pernah minta benda-benda mahal.
Tambah Khai, arwah ibunya seorang yang sederhana selain tidak pandai menggayakan barangan mewah walaupun pernah membeli untuknya. Ujar pelantun suara ‘Luluh’ ini lagi, arwah ibunya lebih gemar memakai barangan murah selain tidak pernah meminta-minta dibelikan barangan berjenama.
Pernah beli gelang emas, beg mahal, dia tak pandai pakai. Dia suka beg RM10 sebab banyak warna dan corak. Gelang pun dia suka yang RM15. Pernah borong banyak-banyak bagi mak, happy sangat dia dapat. Sayang mak dunia akhirat.
Berkongsi semula mengenai detik pemergian arwah, Khai memberitahu mereka sekeluarga baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-62 arwah minggu lalu. Sebagai anak, Khai tidak menyangka ibunya akan pergi meninggalkan mereka tanpa meninggalkan sebarang tanda pelik.
Mak sempat minta air dekat kakak untuk kali terakhir. Lepas kakak bagi air, mak suruh letak atas meja nanti dia minum.
Kakak naik ke atas tengok anak-anak, tak sampai 15 minit kakak turun semula dan nampak mak seolah-olah sedang tidur. Kakak cuba kejutkan mak bangun untuk minum tapi mak tak bergerak. Berkali-kali kejut masih tak bangun. Adik cuba pegang nadi mak, nadi mak sudah tak berdenyut.
Sebaik sahaja menerima perkhabaran bahawa ibunya sudah meninggal dunia, Khai yang ketika itu berada di Pulau Langkawi, Kedah merasakan hidupnya kosong seperti sedang bermimpi.
Bila dapat tahu saja mak dah tak ada, terus rasa dunia gelap gelita seolah-olah macam sedang bermimpi. Alhamdulillah Allah permudahkan perjalanan pulang ke Perlis dari Langkawi. Dalam perjalanan naik bot, cuaca cantik sangat, bulan bintang terang, langit cerah. Hati rasa sayu seolah-olah mak sedang tunggu saya di rumah.
Sumber: Khai Bahar