Selepas timbul kontroversi dan menerima kecaman hebat, pihak penganjur Konsert Goyang Asia Koplo Milenia mengambil keputusan untuk melakukan penjenamaan semula konsert tersebut kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan: Anjur Konsert Dangdut & Undang Baby Shima, Penganjur Bersedia Dikecam Serta Dipolitikkan
Artikel Berkaitan: Disahkan Hidap Slip Disc, Riezman Khuzaimi Bergantung Kepada Pendakap Leher – ‘Sangat Emosi, Cepat Marah’
Cetus kontroversi, tukar nama konsert
Pengarah Projek Mission Sight Sdn. Bhd, Riezman Khuzaimi berkata, penjenamaan semula konsert yang dijadualkan pada 30 September depan dilihat mampu menangkis stigma buruk segelintir pihak terhadap genre yang ditonjolkan iaitu dangdut.
Belum pun bermula, konsert mega yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam telah menjadi sasaran kritikan mereka yang sentiasa memiliki persepsi negatif terhadap irama dangdut.
Demi membuang persepsi masyarakat dan menghormati semua pihak, Konsert Goyang Asia Koplo Milenia telah dijenamakan semula kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.
Pihak kami sedar apabila disebut dangdut koplo sudah pasti ada yang menyangka kemunculan barisan penyanyi nanti disertai tarian seksi, namun itu semua sekadar tanggapan.
Garis panduan, tiket harga rahmah
Tambah Riezaman lagi, sebagai penganjur yang bertanggungjawab, setiap penyanyi terutama dari Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-kelepek dan Rheyna Morena juga diingatkan tentang garis panduan persembahan.
Sejak awal lagi mereka tiada masalah mengikuti ketetapan dan menghormati garis panduan bukan hanya pada persembahan, bahkan meliputi penampilan pada malam tersebut.
Sebagai penggiat seni, Mission Sight lebih teruja menonjolkan seni di dalam muzik itu sendiri tanpa membawa elemen negatif sepertinya tanggapan pihak tertentu.
Kami hanya menjual irama dan lagu, bukan unsur negatif tarian dan gelek lucah macam tuduhan dilemparkan ketika pengumuman konsert ini.
Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur turut dimeriahkan dengan kemunculan Ratu Dangdut Malaysia seperti Amelina dan Ani Maiyuni selain empat bintang dari Seberang itu.
Lebih menarik lagi, penganjur memutuskan untuk melakukan penjualan tiket pada harga rahmah bersempena bulan kemerdekaan menerusi potongan diskaun sehingga 50 peratus.
Ini adalah konsert pertama Mission Sight yang sebelum ini berpengalaman luas dalam penganjuran acara serta festival mega.
Kami ingin berkongsi kemeriahan dengan membuka peluang kepada lebih ramai penggemar muzik menikmati genre dangdut, selain memberi potongan 50 peratus bersempena bulan kemerdekaan.
Harga istimewa ini turut ditawarkan kerana kami merancang mengadakan konsert untuk malam ke dua dan jika terlaksana kemungkinan artis sensasi seperti Baby Shima dan beberapa artis lain dapat tampil.
Lebih membanggakan, konsert ini juga mungkin akan mencatat sejarah dan diabadikan dalam Malaysia Book of Records, sekiranya tiket habis terjual.
Malah, konsert tersebut juga bakal dimeriahkan dengan Festival Muzik Milenia selama tiga hari berturut-turut di perkarangan Stadium MBSA Shah Alam bermula 29 September hingga 1 Oktober 2023.
Antara pertandingan yang melibatkan lima negara Malaysia, Indonesia, Singapore, Brunei dan Thailand di festival itu adalah pencarian Raja dan Ratu Dangdut Asia, pertandingan tarian dan cabaran One Minutes Challenge.
Tiket mengikut zon kini boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my yang menawarkan harga terkini bermula dari RM240 (VIP Koplo), RM134 (Asyik), RM89 (Rindu) hingga ke zon berdiri yang hanya RM50.