Impian penyanyi dan pelakon jelita, Elizabeth Tan untuk menimang cahaya mata pertama bersama suaminya, Siew Jim tidak kesampaian apabila mengalami keguguran sekitar dua bulan lalu.
Artikel Berkaitan: ‘Harap Tahun Depan Sambut Tahun Baru Cina Bertiga’ – Elizabeth Tan
Keguguran anak pertama
Ketika ditemui Ohbulan!, Elizabeth yang lebih mesra disapa Lizzy berkata, dia sangat sedih apabila mendapati kandungannya sudah tiada sewaktu melakukan pemeriksaan doktor.
Sebenarnya saya mengalami keguguran anak pertama dan waktu itu kehamilan saya masih berada pada peringkat awal lagi.
Saya ke hospital dan doktor sahkan bahawa kandungan sudah tiada.
Pada mulanya saya rasa saya boleh untuk berdepan dengan situasi ini namun baru-baru ini saya mula sedar bahawa saya belum boleh melupakan.
Tidak tahu bila lagi saya akan hamil dan itu sedikit sebanyak membimbangkan saya.
Lizzy berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem ‘Sheriff’ yang diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada malam Selasa.
Tambah pelantun lagu ‘Semua Sudah’, keguguran yang dialaminya itu meninggalkan impak besar kepadanya memandangkan dia dan suami sudah lama menanti.
Perkara ini memberikan impak buat saya sebab perlu berdepan dengan kehilangan.
Saya pun sudah umumkan kepada keluarga dan temat rapat saya tetapi gugur pula, memang menyedihkan tapi saya tidak berputus asa.
Jujurnya ketika saya melihat saya positif hamil, saya memang fikir hidup akan berubah tetapi tiba-tiba tak jadi.
Kalau terlalu banyak bercakap tentang hal ini, saya akan menangis pula.
Sekadar info, Lizzy dan suaminya Siew mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021 namun masih belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.