Pelakon Emma Maembong menyatakan dia akan membawa suami dan dua orang anaknya ketika menjalani penggambaran atau mempunyai kerja luar.
Artikel Berkaitan: Emma Maembong Tak Tersinggung Dituduh Berpantang Tak Serius -‘Saya Anggap Netizen Ambil Berat’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Emma Doakan Perkahwinan Ketiga Shikin Maembong & Cat Farish Jadi Terakhir
Angkut keluarga
Ketika ditemui OhBulan!, Emma berkata tujuan dia membawa suami dan anaknya bersama ketika bekerja disebabkan tidak boleh berjauhan dengan mereka.
Malah, aktres berusia 31 tahun itu juga sanggup mengeluarkan kos sendiri untuk keluarganya sekiranya mempunyai penggambaran di luar kawasan.
Kesibukan di set penggambaran menyebabkan masa saya bersama keluarga agak terbatas. Sebab itu, saya sentiasa mahu bersama keluarga dengan membawa mereka ketika menjalani penggambaran.
Saya ‘angkut’ suami, dua anak dan pembantu untuk temani saya di lokasi penggambaran. Saya rasa gembira dan rasa lebih bersemangat untuk bekerja jika mereka bersama.
Bukan setakat penggambaran di Malaysia, malah, luar negara. Saya tetap mahu keluarga ikut bersama. Saya sangat bersyukur kerana syarikat produksi faham situasi saya itu.
Produksi juga tak pernah berkira atau tolak bila saya minta sediakan bilik besar jika penggambaran di luar daerah. Kalau tak ada bajet, saya sendiri keluarkan kos, asalkan suami dan anak-anak ada di depan mata.
Emma berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan pratonton drama bersiri One Million Dollar Voice yang diadakan di DADI Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Emma memberitahu dia pernah mencuba untuk berjauhan dengan keluarga, namun hal tersebut seperti menyeksa dirinya sendiri.
Pernah terjadi ketika saya ada penggambaran di Kelantan. Suami dan anak-anak tinggal di rumah. Memang rasa lain dan rindu membuak-buak. Sudahnya, saya menangis kerana tiada mereka dan mesti teringat mereka.
Saya terus hubungi suami dan minta dia bawa anak-anak dan pembantu ke Kelantan dengan segera untuk temani saya sampai selesai penggambaran.
Untuk rekod, Emma berkahwin dengan juruterbang bernama Muhammad Shazli Azhar dan mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Shariq Gabriel, 3 dan Shakil Aryan Shah yang lahir pada 10 Mei lalu.