berita

Empat Beranak Maut Kemalangan, Pemandu Treler Miliki 13 Saman Trafik Ditahan Polis

July 14th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Pemandu treler yang merempuh enam buah kereta di Kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Ipoh, Perak sehingga mengakibatkan empat beranak maut semalam telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu.

Artikel Berkaitan: Nahas Tujuh Kenderaan Ragut Empat Nyawa

Mempunyai 13 rekod kesalahan saman trafik

Menerusi laporan Sinar Harian, lelaki yang berusia 34 tahun itu didapati mempunyai 13 rekod kesalahan saman trafik dari tahun 2008 hingga 2021. Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, tiga daripada saman trafik tersebut membabitkan kemalangan jalan raya yang berlaku pada tahun 2012, 2020 dan 2021. Tambah Datuk Mior lagi, ujian saringan air kencing mendapati pemandu treler terbabit tidak memandu di bawah pengaruh dadah.

Hasil siasatan mendapati, treler bermuatan kosong itu dalam perjalanan dari arah Taiping ke Bukit Beruntung telah merempuh kereta jenis Proton Persona dinaiki empat sekeluarga yang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur. Akibat daripada rempuhan itu, kereta terbabit telah menggelongsor ke hadapan sebelum melanggar lima kenderaan lain.

Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 60 tahun, isterinya yang duduk di hadapan dan dua anak perempuan mereka yang duduk di bahagian penumpang belakang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang maut merupakan pesara polis, Koperal Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuan mereka, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27. Kesemua jenazah yang selesai menjalani bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh itu telah dibawa ke Permatang Pasir, Permatang Pauh di Pulau Pinang untuk urusan pengebumian.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×