Pelakon Eyka Farhana mengakui dirinya seorang yang penakut. Namun begitu, dia berjaya melawan perasaan tersebut semata-mata mahu bekerja di bawah arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri menerusi filem seram terbaharu, Anak Perjanjian Syaitan 2 yang mula menjengah pawagam, semalam.
Artikel Berkaitan: Eyka Farhana Terus Demam Lakonkan Babak Dalam Kubur – ‘Tak Ada Dalam Skrip, Cabaran Untuk Saya’
Cabar diri
Ketika ditemui OhBulan di sesi tayangan khas filem tersebut, Eyka atau nama sebenar, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 28, turut memberitahu bahawa dia mahu mencabar diri melakukan perkara baharu dalam karier lakonan.
Saya teringin sangat hendak berlakon di bawah arahan Ahmad Idham. Sebab saya suka dengan filem-filem seram yang diarahkan walaupun saya seorang penakut. Jadi, apabila ditawarkan terbabit dalam filem Anak Perjanjian Syaitan 2, saya rasa kenapa tidak cabar diri untuk membawakan watak Azlinda.
Walaupun sebenarnya tawaran menjayakan filem seram jarang saya terima. Tapi pada masa sama, saya gembira sebab dapat cabar diri.
Disoal mengenai cara mengatasi rasa takut sepanjang penggambaran, Eyka berkata, dia cuba sedaya upaya berfikiran positif dan fokus menyempurnakan kerjanya sahaja. Ujar Eyka lagi, keberadaan ustaz ketika di lokasi penggambaran sedikit sebanyak melegakan hatinya.
Ketika di set penggambaran memang ada ustaz, jadi mungkin kalau ada apa-apa terjadi boleh bantu. Saya juga rasa selamat bila ada ustaz yang memantau.
Tapi, Alhamdulillah tiada apa-apa yang terjadi. Saya cuma demam dan ada dengar bunyi sesuatu, tetapi tidaklah sampai nampak benda bukan-bukan.