Setelah sekian lama tidak muncul di kaca televisyen, nama pelakon, Ezany Nizariff kembali menjadi sebutan apabila dia melakonkan watak ‘Husin’ dalam drama ‘Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah’ di TV3.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pertama Kali Bergandingan, Lakonan Rita Nadira & Aniq Suhair Pikat Hati Netizen
Gian nak berlakon
Menerusi temu bual secara eksklusif bersama OhBulan! Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zani @ Mohd Zohri Mohd Nizariff berkata, dia tidak pernah menghilangkan diri dari dunia seni, sebaliknya memberi fokus dalam bidang akademik.
Ujar Ezany, dia sedang melakukan Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Gloucestershire University United Kingdom.
Saya sambung belajar dan buat Sarjana di Gloucestershire University UK. Sekarang dalam tempoh nak siapkan jurnal untuk UK Regulated Qualifications Framework tahap 9.
Insya-Allah mungkin tahun depan saya akan tamatkan pengajian sekiranya tiada kekangan yang lain. Maklumlah, sekarang masa berjalan sangat pantas.
Bercerita mengenai bagaimana boleh menerima tawaran berlakon setelah sekian lama menyepi, Ezany berkata, perasaan untuk kembali beraksi sentiasa ada dalam jiwanya. Apatah lagi, dia menerima naskah yang hebat daripada Zeel Production.
Saya terima projek drama ini sebab gian nak berlakon kembali. Tambah pula, karakter yang diberikan sangat sesuai dengan saya iaitu seorang yang tegas, berjiwa korporat dan mempunyai sedikit babak air mata.
Walaupun ramai yang tidak bersetuju saya memegang watak sebagai seorang bapa, saya tidak boleh nak komen apa-apa. Sebab saya sudah mencecah 51 tahun.
Mereka kata saya ada aura untuk pegang watak hero. Saya hanya mampu tersenyum dan diam sahaja sebaik membaca dan mendengar komen mereka.
Bagi saya senang, kalau watak itu sesuai dan okay, saya akan ambil.
Belajar dari pengalaman
Disoal sama ada menyertai kelas lakonan ataupun tidak bagi mengasah bakat semula, Ezany memberitahu dia tidak mengikuti sebarang kelas lakonan. Ujarnya lagi, dia belajar dari pengalaman sejak 24 tahun yang lalu.
Diusik mengenai perancangan dan projek terbaru selepas ini, anak kelahiran Perlis ini memberitahu dia menyerahkan soal karier dan lakonan kepada Hj Fadzil Teh (Zeel Production).
Saya baru sahaja dapat panggilan telefon untuk menjayakan sebuah filem. Penggambaran itu akan dilakukan bulan Mei nanti selepas Hari Raya. Lokasi pula di utara tanah air. Insya-Allah. Apa-apa saya akan update nanti.
Di akhir temu bual, Ezany turut berkongsi pengalaman apabila bergandingan dengan pelakon baharu dalam drama Cinta Bersemi Di Wadi Safiyya.
Bekerja dengan pelakon baharu untuk drama ini semuanya okay. Cuma, saya harap mereka masuk kelas lakonan supaya tidak terlalu nampak menghafal skrip. Apapun, mereka mempunyai bakat dan boleh diperbaiki lagi.