berita

Faizal Ismail Ada Tauliah Ceramah, Boleh Sampaikan Tazkirah Dalam Bentuk Motivasi Sahaja

February 13th, 2024 | by Hazirah
Kini Trending

 

Pengacara dan juga penyampai radio, Faizal Ismail kini mempunyai kelayakan untuk berkongsi ilmu kerana dia sudah ditauliahkan sebagai penceramah D4 (tauliah mengajar bidang khas) oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Artikel Berkaitan: Faizal Ismail Nafi Berpoligami Di Madinah – ‘Itu Adalah Fitnah Yang Menjatuhkan Reputasi’

Tauliah D4

Foto: Harian Metro

Memetik laporan Harian Metro, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI memberitahu bahawa tauliah D4 yang dimilikinya hanya berkonsepkan ceramah, kuliah dan tazkirah.

Walau bagaimanapun, Faizal hanya boleh menyampaikan dalam bentuk motivasi untuk mengajak orang ramai datang ke masjid dan tidak boleh menyentuh bab pengajaran kita ataupun hadis.

Semuanya bermula sekitar tiga tahun lalu, ketika saya masih dalam fasa berhijrah. Saya dapat tauliah daripada Mais selepas dicadangkan oleh ustaz yang mengajar di pondok tempat saya belajar di Madrasah Bukit Belimbing, Kuala Selangor.

Tauliah ini ada banyak jenis dan apabila saya memohon, mereka cadangkan saya dapatkan tauliah D4 yang berbentuk motivasi.

Ia masih berkonsepkan ceramah, kuliah dan tazkirah. Tetapi, saya hanya boleh menyampaikannya dalam bentuk motivasi untuk mengajak orang datang ke masjid dan melakukan kebaikan.

Pada masa sama, itu juga adalah satu bentuk dakwah daripada saya. Tapi, saya tak boleh sentuh bab pengajaran kitab atau hadis. Jadi, sejak 2022 saya dah mulakan aktiviti ini.

Sementara itu, Faizal turut memberitahu bahawa dia menerima jemputan untuk memberikan tazkirah mengikut musim serta bergantung kepada hari besar dalam kalendar Islam.

Faizal juga mendedahkan bahawa dia ada menerima jemputan daripada universiti, sekolah dan juga lokasi persendirian.

Program membabitkan saya boleh dikatakan bermusim dan bergantung kepada hari yang besar dalam kalendar Islam. Contohnya, Maulidur Rasul, Nuzul Quran dan menjelang Ramadan, banyak jemputan yang saya terima dari surau dan masjid untuk berikan tazkirah.

Ada juga program yang diadakan di universiti dan sekolah dan lokasi persendirian. Cumanya kalau untuk di surau atas masjid, perlukan tauliah.

‘Proses tidak mudah’

Faizal berkata, jika dia ingin mendapatkan tauliah ke peringkat yang lebih tinggi, ia memerlukan kudrat yang tinggi, malah prosesnya juga tidak mudah.

Tambahnya lagi, dia perlu berhenti kerja sebagai pengacara dan penyampai radio terlebih dahulu kerana ia memerlukan tumpuan yang penuh.

Bagi Faizal, cukuplah dia memberikan motivasi dengan mengajak pendengar di radio untuk melakukan kebaikan.

Kalau ditanya sama ada saya nak lanjutkan bagi mendapatkan tauliah di peringkat seterusnya seperti D3, D2 atau D1, ia perlu datang dengan ilmu dan prosesnya tidak mudah.

Bukan sekadar kena belajar asas agama, tetapi kena faham masalah masyarakat setempat juga. Tambahan pula, saya bukan pelajar yang ada latar belakang agama, tapi ada sedikit pengetahuan kerana latar belakang keluarga saya tekankan bab agama.

Andai kata saya nak lanjutkan lagi untuk dapatkan tauliah peringkat selanjutnya, saya kena berhenti kerja sebagai pengacara dan penyampai radio terlebih dulu dan tumpukan sepenuh perhatian.

Jadi, setakat ini cukup ruang motivasi saya untuk mengajak pendengar di radio atau mereka yang menyaksikan saya mengendalikan program.

Saya dapat bagi pesanan positif untuk ajak mereka lakukan kebaikan. Kalau ada yang terjentik hatinya, dah ada kebaikan untuk saya.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×