Dugaan selepas bergelar suami lebih mencabar berbanding ketika masih bujang ujar penyanyi dan pelakon Fareez Fauzi.
Artikel Berkaitan: ‘Dia Kata Ada Token, Tapi Dapat Sepasang Baju Raya Je’ – Fareez Fauzi
Digoda ramai wanita
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Fareez atau nama sebenarnya Muhammad Fareez Hazwan Mohd Fauzi memberitahu, sejak berkahwin dia berhadapan situasi digoda ramai wanita yang cuba mengganggu keharmonian rumah tangganya.
Dulu waktu masih bujang tiada pula orang nak goda, tapi sekarang ini macam-macam dugaan yang datang. Tapi perkara ini bergantung kepada diri kita sendiri sama ada nak melayan atau tidak godaan itu. Ibaratnya bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
Setiap kali ada yang cuba mendekati, saya akan fikir pengorbanan isteri saya ketika mengandungkan anak kami. Dia melalui fasa yang sukar apabila bersalin secara pembedahan untuk anak pertama kami.
Saya selalu berdoa agar dijauhkan daripada sebarang bentuk godaan atau bertemu dengan orang yang cuba merosakkan rumah tangga saya.
Tambah Fareez, dia menerima pelbagai mesej di media sosial daripada wanita tidak dikenali selain terdapat wanita yang berani mahu bertemunya untuk berkenalan.
Saya menerima pelbagai mesej di media sosial. Ada juga yang datang nak berkenalan dan cuba menggoda, tapi saya menjaga batas.
Saya pun tak tahu kenapa ujian sebegini datang selepas saya berkahwin. Mungkin sebab saya sudah berpengalaman sebagai seorang suami dan bapa. Isteri memang tahu kerana saya tidak akan berselindung. Semua benda yang berlaku saya akan kongsikan kepadanya.