Penyanyi Farez Adnan menepis dakwaan dia dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri sengaja mencetuskan kontroversi secara maya mengenai lagu raya ‘Chu Kuca Raya 2024’ demi konten media sosial semata-mata.
Artikel Berkaitan: Farez Adnan Mengaku Tak Boleh Puasa, Labur RM27,000 Jalani Bariatrik – ‘Setiap Satu Jam Saya Kena Makan’
Saya tak curi
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Farez berkata, apa yang berlaku itu sama sekali tiada kaitan dengan penghasilan kandungan atau strategi pemasaran untuk mempopularkan lagu tersebut.
Memang lagu ini pada asalnya dicipta khas oleh abang Amy untuk Datuk Seri Aliff yang mana ia adalah kesinambungan daripada lagu Chu Ku Chuk Raya pada tahun lepas.
Tapi dia tak nak lagu itu. Dia cakap tak sedap lagu tu. Waktu itu, susunan muzik lagu itu secara penuh belum lagi siap. Yang dia dengar cuma demo sahaja.
Abang Amy kecil hati jugalah bila lagu itu ditolak. Sepatutnya, demo lagu itu saya yang nyanyikan. Tapi, disebabkan Datuk Seri Aliff sudah tolak, lagu itu kemudian diserahkan kepada saya.
Tambah Farez lagi, dia sememangnya terkejut apabila secara tiba-tiba dikaitkan dengan kontroversi lagu raya tersebut.
Hakikatnya, saya tak curi pun lagu itu. Macam saya katakan tadi, lagu itu diserahkan kepada saya selepas Datuk Seri Aliff menolak untuk menerima dan menyanyikannya.
Seminggu selepas merakamkan demo, dia diminta merakamkan suara bagi lagu raya itu yang sudah pun siap susunan muzik penuhnya dan pada waktu sama menjayakan muzik videonya.
Saya sendiri pun terkejut dan tidak sangka pula segalanya berlaku dengan cepat.
Di akhir temu bual, bekas peserta Dangdut Academy Asia 3 ini turut mengakui bahawa kesihatan mental dan emosinya sedikit terganggu susulan keceman yang diterima di media sosial.
Di platform TikTok, saya memang dikecam teruk. Ada yang gembira sebab lagu ini tidak lagi dinyanyikan Datuk Seri Aliff. Ada pula yang suka sebab lagu ini saya nyanyikan sebab mereka tahu saya memang betul-betul penyanyi.
Ada yang tak gembira sebab mereka kata saya tiru konsep muzik video Datuk Aliff. Sebetulnya, konsep lagu raya itu ditentukan sendiri oleh Abang Amy selaku komposer dan produser muzik.
Saya ikut sahaja. Kalau nak diikutkan, Abang Amy mahu tambah lagi penyanyi. Tapi, saya cakap cukup dua saja.