Tawaran kerja dan undangan menjayakan konsert yang tidak putus, penyanyi dan komposer, Hael Husaini mengakui soal penat bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan alasan untuk memperlahankan langkah dalam dunia seni.

Artikel Berkaitan: Hael Husaini Mengaku Dah Tak ‘Available’, Akan Kongsi Berita Perkahwinan Bila Tiba Masa

Artikel Berkaitan: Kes Penyelewangan Wang Berjumlah RM28,000, Hael Husaini Hadir Sebagai Saksi

Tiada istilah penat

Hael atau nama sebenar Hal Husaini Razmi, 37, berpegang pada satu prinsip hidup yang cukup jelas di mana dia menyatakan selagi Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak pernah mengeluh penat, maka dirinya juga tidak akan berbuat demikian.

Menurut Hael, figura seperti Siti Nurhaliza menjadi simbol disiplin dan dedikasi yang tidak pernah luntur meskipun sudah lebih dua dekad berada di persada muzik tanah air.

Saya mahu terus bertapak dalam industri, jadi tiada alasan untuk kata tak mahu beri komitmen dalam setiap kerja yang ada. Saya anggap semua ini adalah rezeki.

Bagi saya itu (hiburkan peminat) adalah tanggungjawab seorang artis, apabila saya sudah letakkan komitmen, harus dilakukan, soal penat saya letak tepi.

Saya ada satu prinsip dalam hidup saya, selagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak pernah mengeluh penat, kita yang berada dibawah jangan sesekali berkata penat atau mahu mengeluh.

Hael berkata demikian ketika ditemui di sesi latihan Konsert Festival Tentang Cinta, pada Isnin.

Dalam masa sama, Hael memberitahu fasa ‘me time’ dalam hidupnya telah lama berlalu. Baginya, waktu untuk berehat panjang sudah tiada lagi sejak dia mula menjejakkan kaki ke dalam dunia hiburan secara serius.

‘Me time’ saya dah berlalu, sebelum saya sampai pada tahap ini sudah lama saya ‘me time’, sendu. Apabila dapat rezeki macam sekarang sudah tiada masa untuk saya ‘me time’. Saya akan terus berkarya.

Saya ada sahaja masa berehat sendiri, saya perlu urus dengan bijak setiap masa saya. Bagi saya dapat rehat yang cukup, tidur itu sudah memadai. Sebab saya memang seorang yang kuat bekerja.

Sebagai tanda komitmen terhadap kerjaya seninya, Hael kini sedang giat menjalani persiapan menjelang konsert solo pertamanya yang diberi judul Hael Husaini & Repertoire yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini.

Konsert berprestij itu juga bakal menyajikan persembahan istimewa bersama beberapa rakan seperjuangan dalam industri termasuk Nabila Razali, Wany Hasrita, Nadeera Zaini, kumpulan Alpha dan Dayang Nurfaizah, sekali gus menjanjikan sebuah malam penuh warna dan emosi.

Tidak cukup dengan itu, Hael dijadual terbang ke Sabah bagi menyertai Festival Tentang Cinta yang akan berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 9 Ogos.

Festival mega itu menghimpunkan barisan artis ternama dari Malaysia dan Indonesia seperti Andmesh Kamaleng, Ziva Magnolya, Adira Suhaimi, Ara Johari dan Mary Grace, menjadikannya antara acara muzik paling dinantikan tahun ini.