Pelalon Fasha Sandha menangguh hasrat untuk hamil pada tahun ini kerana tidak mahu melepaskan peluang berlakon dalam naskhah yang ditulis penulis skrip terkenal, Azimah Pak Wan.
Artikel Berkaitan: ‘Tidak Ingat Bila Kali Terakhir Kami Gaduh, Rasanya Tahun Ini Belum Lagi’ – Fasha Sandha
Artikel Berkaitan: Aidil Aziz Profesional, Tak Cemburu Fasha Sandha Lakonkan Adegan ‘Panas’ – ‘Itu Bukan Dia, Itu Watak Sahaja’
Tangguh hamil
Mengakui akan menyesal jika menolak tawaran tersebut, pemilik nama lengkap Nur Fasha Sandha Hassan, 40, berkata, dia sudah berbincang dengan suami, aktor Aidil Aziz untuk menangguh rancangan mereka menambah zuriat.
Tahun ini belum ada rezeki nak dapatkan anak, sebab saya tidak sampai hati nak tolak naskhah yang sudah ditulis untuk saya daripada Azimah Pak Wan.
Ramai artis di Malaysia yang minat dengan skrip ditulis oleh beliau. Kalau saya tolak ibaratnya macam satu rezeki yang disia-siakan. Karakter drama tersebut juga sangat bagus.
Setelah berbincang dengan suami, dia kata tidak mengapa tentang anak. Dia suruh saya terima karya tersebut. Fasal anak tangguh dahulu, insya-Allah ada rezeki akan usaha tahun depan.
Fasha berkata demikian ketika ditemui di sidang media Zumba with Abby Abadi dan pelancaran Berryfull Honey Lemon yang berlangsung di sekitar ibu kota, baru-baru ini.
Sihat untuk hamil
Dalam pada itu, Fasha memberitahu, pakar perubatan memaklumkan tahap kesihatannya dalam keadaan baik jika mahu hamil secara normal mahupun melalui proses rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Sudah berjanji dengan suami, saya akan berusaha untuk hamil lagi walaupun usia sudah 40 tahun. Dengan izin Allah juga, saya sebagai manusia hanya merancang.
Sudah beberapa kali jumpa doktor, doktor kata saya sihat untuk hamil. Malah tiada masalah untuk hamil secara normal atau lakukan proses IVF.
Kalau IVF boleh pilih jantina dan DNA yang sihat. Dalam masa sama IVF boleh kurangkan risiko kesihatan.
Sekadar info, Fasha mendirikan rumah tangga dengan Aidil pada Mac 2019 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisha Amaira.
Sebelum ini, Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai.
Menerusi perkahwinan itu, Fasha mendapat dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 10, dan Putri Raysha Jemaima, 9.