berita

Filem ‘MagiK’ Menyelami Kisah Remaja Pekak

September 13th, 2023 | by Yong
Kini Trending

Filem MagiK

Syarikat produksi, 42nd Pictures Sdn Bhd yang diterajui oleh pasangan suami isteri, Yasu dan Bea Tanaka, bakal mengadakan tayangan khas filem terbaharu berjudul ‘MagiK’ di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia selama dua bulan, mulai bulan September ini.

Artikel Berkaitan: 20 Tahun Menanti! Impian Hafiz Nafiah Nak Jadi Pengarah Akhirnya Tercapai, ‘Mat Kola’ Bakal Ditayangkan 21 September Ini!

Mengangkat kisah gadis pekak

Filem ‘MagiK’ bergenre drama, keluarga dan fantasi arahan Tanaka yang berasal dari Jepun dengan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Menerusi filem kedua arahannya bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip, tetapi sebagai medium untuk penonton mengenali golongan berkenaan

Filem ‘MagiK’ bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip, tetapi turut mengajak penonton menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan bermasalah pendengaran.

Menurut Tanaka, idea menghasilkan filem ‘MagiK’ berasal daripada idea yang digabungkan bersama isterinya iaitu hubungan Bea dengan komuniti pekak dan minat beliau kepada alam semula jadi.

Begitulah cara dua idea ini digunakan untuk mencipta cerita seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip.

Sehubungan itu, tayangan khas filem ‘MagiK’ membabitkan tujuh lokasi terpilih di seluruh negara diadakan antara September dan Oktober ini.

Kami teruja berinteraksi secara langsung dengan penonton yang hadir pada tayangan khas ini. Kami berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menonton tayangan khas filem ‘MagiK’ yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Tanaka juga menyatakan bahawa isterinya, Bea adalah bekas guru pendidikan khas golongan bermasalah pendengaran selama 15 tahun dan masih akrab dengan golongan istimewa ini.

Sementara itu, Bea berkata, pihaknya mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan bermasalah pendengaran supaya dapat menonton filem berkenaan.

Versi yang akan ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi yang mempunyai ‘closed caption’ yang memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran.

Filem ‘MagiK’ memaparkan masyarakat Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini.

Pihaknya juga berterima kasih kepada PORT Ipoh yang menaja tayangan selama dua hari dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Perak untuk melibatkan komuniti pekak serta sekolah pendidikan khas sekitar Ipoh dengan kerjasama JPN Perak.

Sinopsis filem magiK

Filem ‘MagiK’ yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 30 November depan memaparkan gadis pekak berusia tujuh tahun, Kit yang tinggal di perkampungan terkenal dengan kelip-kelip. Keluarganya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya hanya bekerja sebagai pendayung membawa pelancong melihat kelip-kelip.

Ibunya pula menyuruh belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun Kit tidak berani untuk berkomunikasi dengan orang ramai kerana lebih cenderung untuk hidup dalam dunia yang dikelilingi alam semula jadi.

Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan seekor kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya.

Tayangan khas ‘magiK’ akan diadakan di Warung Adri, Kuantan, Pahang pada 16 September ini disusuli konsep wayang pacak di Pantai Telaga Papan, Setiu, Terengganu pada 23 September.

Selain itu, lokasi tayangan khas filem berkenaan akan diteruskan di Space08000, Sungai Petani, Kedah (29 September); YMCA, Kuala Lumpur (1 Oktober); YMCA, Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober); PORT, Ipoh, Perak (14 dan 15 Oktober) yang turut menjemput penonton dari komuniti bermasalah pendengaran.

Jadual tayangan khas ‘MagiK’ akan berakhir di Embrace Hall, Johor Bahru, Johor pada 20 Oktober depan.

SKIP THIS AD ×