Filem berbahasa Kantonis ‘Rain Town’ terbitan kedua syarikat produksi Current Pictures Sdn. Bhd. melakar kejayaan tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia untuk Tayangan Perdana Dunia (World Premiere) di festival filem antarabangsa 10th Silk Road International Film Festival (SRIFF), yang akan berlangsung di Fuzhou, China pada 23 hingga 27 September ini.
Artikel Berkaitan: Filem Bahasa Cina, No More Bets Dah Kutip RM10 Juta Sejak Ditayang 7 September
Satu penghormatan
Pengarahnya, Tunku Mona Riza berkata, ia merupakan satu penghormatan apabila filem kedua arahannya itu mendapat perhatian pihak luar serta berpeluang untuk ditayangkan di sebuah festival berprestij di luar negara.
Sudah tentu ini merupakan peluang untuk masyarakat luar dapat lebih mengenali Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya secara lebih dekat menerusi penayangan filem Rain Town di SRIFF.
Apatah lagi, SRIFF merupakan antara salah sebuah festival filem yang agak besar di China dan saya harap Rain Town dapat memikat penonton di negara tersebut.
Jelasnya, sebagai sebahagiaan daripada inisiatif China’s Silk Road Film Bridge Project, penganjuran SRIFF ini bertujuan untuk menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama strategik antarabangsa melalui pembangunan industri audio-visual China.
Tayangan Perdana Dunia ‘Rain Town’ akan menyaksikan garapan seni kreatif pengarah berkenaan yang sebelum ini telah banyak memenangi anugerah di festival antarabangsa dan tempatan melalui filem Redha.
Dapat beri inspirasi
Dalam pada itu, sebagai karya kreatif sulung pengarah tersebut untuk filem berbahasa Kantonis, Tunku Mona memberitahu dia mempunyai aspirasi menghasilkan filem yang bercitrakan keunikan dan keindahan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia yang majmuk dan harmoni sebagai nilai penting yang boleh ditonjolkan di dalam dan luar negara.
Saya membuat filem ini kerana ingin rakyat Malaysia sedar bahawa sebagai sebuah negara berbilang kaum yang harmoni, perlu ada pelbagai cerita budaya yang terdapat di Malaysia.
Sudah tentu saya harap Rain Town dapat menarik minat semua kaum di Malaysia untuk menonton filem ini, sekali gus membuka dan memberi inspirasi kepada pengarah dan penerbit tempatan lain untuk mula mencipta filem silang budaya atau bahasa yang menggambarkan tentang masyarakat Malaysia.
Filem ‘Rain Town’ mengisahkan tentang perjuangan dan konflik sebuah keluarga yang berhadapan dengan pelbagai perbalahan selain turut menonjolkan pelbagai emosi dalam hubungan keluarga yang diterjemahkan di layar.
‘Rain Town’ menampilkan barisan pelakon hebat yang terkenal dan pemenang anugerah seperti Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee, Pauline Tan) yang telah mencipta impak magis lakonan sebagai sebuah keluarga dengan pelbagai dimensi individu yang membawa kelainan serta kekuatan dalam cerita.
Penonton filem tempatan akan dapat menonton ‘Rain Town’ bermula 8 Februari 2024 di pawagam di seluruh negara.