Kalau diikutkan, kami rasa bukan sahaja Fizo Omar sendiri yang kecewa dan marah dengan sikap Afiq Muiz, rata-rata rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan isu antara Afiq dan ibunya juga turut merasakan perasaan yang sama.
Menerusi laporan mStar Online, Fizo menegaskan seorang anak tidak sepatutnya menghina seorang ibu yang telah membesarkan mereka walau seburuk mana pun ibu mereka.
“Saya kurang senang dengan sikap Afiq. Adakah ibunya berkelakuan buruk dan terlalu jahat? Jika ya sekalipun, dia tidak boleh menghina wanita yang melahirkan dan membesarkannya sebegitu rupa.
Fizo turut mendedahkan bahawa dia mahu menegur Afiq jika berpeluang untuk bertemu dengannya.
“Jujurnya, andai kata saya dapat bersemuka dengan dia (Afiq), saya akan menegur sikapnya itu. Saya benar-benar marah dan kecewa dengan sikapnya itu.”
Dalam meluahkan rasa kecewanya, Fizo mengakui bahawa dirinya pun tidaklah begitu sempurna namun seorang ibu haruslah dihormati dan disayangi.
“Saya bukannya nak tunjuk baik kerana saya pun mempunyai sikap nakal juga. Cuma sebagai anak, kita perlu meletakkan ibu di tempat paling atas melebihi segala-galanya.”
OHBULAN! memang setuju seratus peratus dengan apa yang dikatakan oleh Fizo Omar. Semoga anak-anak muda diluar sana tahu menghargai ibu bapa mereka yang bersusah payah menjaga dan membesarkan mereka sejak dilahirkan lagi.