berita

Fizo Omar Menyanyi Demi Ali Baba

November 28th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Tak ramai selebriti yang mempunyai pelbagai kemahiran apabila mula berkecimpung dalam bidang seni. Lain pula pada Fizo Omar, artis kelahiran Kelantan ini sememangnya mempunyai nama yang kukuh didalam industri apabila sering dilihat menjadi pengacara, pelakon drama mahupun pelakon filem.

Ketika ditemui di sidang akhbar pementasan teater muzikal ‘Ali Baba’, Istana Budaya, Fizo yang bakal memegang watak sebagai Ali Baba dalam pementasan ini memberitahu bahawa ini adalah kali kedua dia menyertai pementasan teater. Dia turut memberitahu bahawa cabaran untuk pementasan teater kali ini adalah dari segi nyanyian.

“Menyanyi merupakan satu cabaran untuk saya, mungkin dalam masa sebulan boleh perbaiki kemahiran menyanyi. Tapi untuk ‘perfect’ itu, tak ada lah,” ujar pelakon berusia 27 tahun ini.

Fizo turut memberitahu bahawa penyertaannya dalam teater adalah sebagai pelengkap kerjayanya didalam bidang seni.

“Saya punya perancangan kerja sebagai pengacara, pelakon drama dan pelakon filem. Jadi, teater ini adalah satu-satunya persembahan saya diatas pentas dan ia juga sebagai pelengkap karier saya,” jelas Fizo lagi.

Dalam pada itu, teater muzikal ‘Ali Baba’ bakal menggandingkan Fizo Omar bersama Aznil Nawawi dan juga Elfira Loy sebagai teraju utama. Teater ini diadaptasi dari naskhah asal filem arahan Allahyarham P.Ramlee.

Tiket pementasan teater muzikal Ali Baba yang berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100 boleh ditempah menerusi talian, 03-40265558 atau layari www.ticket2u.biz.

SKIP THIS AD ×