Selepas kolaborasi antara jenama Mface milik Dato’ AC Mizal dan Air Asia berjaya diselaraskan beberapa bulan lepas, kali ini sayap perniagaan usahawan ini semakin berkembang ke bidang produksi pula.
Petang semalam, isteri merangkap pengurus peribadi AC, Datin Emylia Rosnaida telah berkongsi beberapa keping foto ke laman Instagram menunjukkan krew produksi mereka sedang menjalani penggambaran telemovie berjudul ‘Hantu Tanah Kubur Beraya’.
Melalui gambar-gambar itu, OHBULAN! difahamkan bahawa semalam merupakan hari pertama penggambaran dijalankan dan mereka telah memiih Gombak sebagai lokasi yang bersesuaian.
Menerusi laman Twitter milik AC Mizal pula, telemovie bergenre komedi seram arahan Adlin Aman Ramlie itu dikhabarkan akan menemui penonton pada Hari Raya ketiga nanti jam 4 petang di Astro Warna.
Untuk pengetahuan semua, ‘Hantu Tanah Kubur Beraya’ merupakan bayi sulung syarikat produksi AC Mizal yang diberi nama MBI Pictures dengan menampilkan Emelda Rosemila sebagai pelakon utama.
Sebelum ini ada laporan media melaporkan yang AC Mizal bakal berlakon semula namun belum dapat dipastikan melalui filem, drama ataupun telemovie apa. Kemungkinan besar penonton dapat melihat kemunculan istimewa AC di dalam telemovie ini. Siapa tahu kan?
Sementara itu, jom tengok dulu foto-foto yang dikongsikan oleh Emylia Rosnaida di hari pertama penggambaran HTKB di Gombak semalam.
Kredit foto: Instagram Emylia Rosnaida