Band Indonesia, Fourtwnty bakal mengadakan jelajah selama empat hari di empat negeri berbeza di Malaysia sempena meraikan pelancaran album terbaharu mereka yang berjudul ‘Nalar’.
Artikel Berkaitan: D’ Masiv Pilih Malaysia Jadi Lokasi Pertama Konsert 20AD To The World
‘Ubat’ buat peminat Malaysia
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, vokalis kumpulan Fourtwnty, Ari Lesmana berkata dia dan ahli kumpulannya begitu bersemangat dan dalam masa yang sama sedikit gementar untuk mengadakan konsert di Malaysia yang sudah dianggap sebagai rumah kedua bagi mereka.
Kami sangat teruja untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur tapi turut merasai debaran. Ini kerana kami akan membuat persembahan dengan suasana yang sedikit berbeza ditambah pula kami ingin mempromosikan album dan konsep kami yang baharu.
Kuala Lumpur ini juga kami sudah anggap sebagai rumah kami sendiri, rumah kedua bagi kami.
Dalam pada itu, Ari berharap album ‘Nalar’ yang membawa maksud sederhana, sentiasa dan selalu ini mampu menjadi ubat kepada setiap masalah yang dihadapi para peminatnya.
Album Nalar ini merupakan ubat buat anda yang mungkin mempunyai sesuatu masalah yang tidak dapat atau pun sukar untuk sembuh.
Jadi setiap pengisian di dalam album ini kami racikkan dan dijadikan sebagai ‘ubat’ buat anda di luar sana.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang bakal dihadapi sepanjang melakukan konsert jelajah di Malaysia, Ari memaklumkan bahawa kumpulan Fourtwnty telah melakukan persiapan untuk konsert ini selama hampir tiga bulan lamanya di samping perlu memperbanyakkan istirahat.
Kami banyakkan berehat dan tidur sebenarnya. Dan sudah hampir tiga bulan kami melakukan persiapan dengan cara mengkaji semula persembahana kami.
Kami juga meniliti apa yang perlu diperbaharui dan perubahan yang perlu dilakukan bagi memastikan konsert berjalan dengan lancar.
Buat semua peminat band Fourtwnty, jangan lepaskan peluang anda untuk turut serta dalam konsert jelajah ‘Fourtwnty Nalar Tour’ yang akan diadakan di Kuantan, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada 13, 15, 20 dan 22 Oktober 2023.
Layari www.myticket.asia untuk mendapatkan tiket anda yang mula dijual dengan harga RM175.