Ajal boleh datang dalam cara tidak disangka-sangka. Kadang-kadang, pejalan kaki pun boleh diragut nyawanya walaupun pemandu kereta atau penunggang motosikal dilihat lebih berisiko.
Satu kematian dengan punca agak aneh berlaku di Parit Buntar, Perak, baru-baru ini. Mangsa meninggal disebabkan tahi anjing! Biar betul? Macam mana boleh sampai mati tu?
Anjing buang air di depan rumah
Kejadian yang berlaku di Taman Pekan Baru, Parit Buntar itu tercetus apabila mangsa, Shee Hun Kong, 68, bertengkar dengan seorang lelaki berusia 52 tahun yang berang selepas haiwan peliharaan mangsa membuang najis di hadapan rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata pertengkaran itu mengakibatkan mangsa ditampar sebelum lelaki terbabit bertindak mencurahkan air paip kepada mangsa dan anjingnya.
Rebah depan rumah, ditemui penduduk terbaring
Mangsa kemudiannya rebah dan terbaring di hadapan rumah lelaki terbabit sebelum ditemui penduduk yang kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis kira-kira 1.30 pagi.
Isteri mangsa, Tan Poh Suan, 52, berkata suaminya sering membawa anjing peliharaan mereka keluar bersiar-siar pada waktu malam.
Tan berkata suaminya juga menghidap penyakit jantung dan darah tinggi namun tidak menjangka sama sekali kejadian itu menyebabkan dia kehilangan suaminya itu.
Sumber: Malaysiakini