Dalam dunia keibubapaan hari ini, istilah gentle parenting bukan lagi sesuatu yang asing. Ramai ibu bapa mula memilih pendekatan yang lebih lembut, mengutamakan komunikasi dan mengelakkan hukuman fizikal dalam mendidik anak-anak.

Namun bagi pengacara Fiza Frizzy, setiap keluarga mempunyai cara tersendiri. Baginya, tidak semua perkara perlu mengikut trend yang sedang menjadi perbualan di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kalau Kawan Baik, Saya Okay Je Nak Bagi Pinjam’ – Fiza Frizzy Pesan Jangan Mudah Percaya Orang

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Makeup Bagai Nak Rak, Tapi Kaki Bau Stokin Setahun Tak Basuh’ – Fiza Frizzy Kongsi Pengalaman Dengan KOL

Gabung pendekatan sesuai untuk mendidik anak

Sebaliknya, dia lebih selesa menggabungkan nilai yang diterapkan ibu bapanya dahulu dengan pendekatan yang dirasakan sesuai mengikut keadaan semasa.

“Saya tahu zaman dulu dan sekarang memang berbeza. Orang selalu cakap kita kena buat gentle parenting, tapi saya masih lagi rotan anak.

“Saya masih lagi Asian mom. Saya masih marah mereka kalau buat salah, masih bercakap dengan mereka dan masih mengingatkan mereka tentang syurga dan neraka. Macam mana mak ayah saya didik saya dulu, macam itulah saya cuba didik anak-anak.”

Pengakuan itu mungkin mengundang pelbagai reaksi.

Dalam era apabila semakin ramai ibu bapa memilih pendekatan yang lebih lembut, Fiza tidak menafikan dia masih percaya disiplin memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah anak-anak.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna dia menghukum tanpa batas.

Rotan hanya di tapak kaki atau betis, tak lebih 2 kali

Menurut Fiza yang bakal menjadi hos karpet merah Anugerah Juara Lagu 40, rotan hanya digunakan sebagai jalan terakhir dan bukan ketika dia dikuasai emosi.

“Bukanlah pukul membuta tuli. Kalau rotan pun, saya cuma rotan dekat tapak kaki atau betis dan tidak lebih daripada dua kali.

“Saya tahu bila kita marah, sebenarnya budak bukan dengar pun. Selalunya mereka buat sesuatu sebab nak perhatian daripada kita.”

Menariknya, di sebalik pengakuan dirinya sebagai seorang Asian mom, Fiza sebenarnya tidak membesarkan anak-anak dalam suasana yang terlalu mengongkong.

Sebaliknya, dia percaya kanak-kanak juga perlu diberi ruang untuk belajar melalui pengalaman sendiri.

Baginya, tidak semua kesilapan perlu dihalang sejak awal. Ada kalanya, anak-anak perlu merasai sendiri akibat daripada tindakan mereka supaya pengajaran itu lebih bermakna.

“Kalau saya dah cakap tiga kali jangan lompat, tapi dia tetap nak lompat, saya biarkan. Bila dia jatuh, barulah saya cakap, ‘Kan saya dah pesan tadi.’ Biar dia belajar daripada pengalaman sendiri.”

Pendekatan sama turut diterapkan dalam kehidupan seharian.

Sejak kecil lagi, Fiza memberi kebebasan kepada anak-anak membuat keputusan sendiri, termasuk memilih pakaian, aktiviti yang diminati dan destinasi percutian keluarga.

“Anak saya umur tiga tahun pun saya dah tanya dia nak pakai baju apa. Dia sendiri pilih. Nak pergi mana, nak buat aktiviti apa, semua itu kami bincang bersama.”

Bagi Fiza, memberi peluang kepada anak membuat pilihan adalah salah satu cara untuk membina keyakinan diri sejak kecil.

Sebagai ibu kepada tiga cahaya mata, Fiza mengakui perjalanan membesarkan anak-anak bukan sesuatu yang mudah.

Semakin mereka meningkat usia, semakin banyak cabaran baharu yang perlu dihadapi, termasuk pengaruh rakan sebaya, media sosial dan perubahan cara masyarakat melihat dunia keibubapaan.

Namun baginya, tiada satu pendekatan yang boleh dianggap paling sempurna.

Apa yang penting ialah ibu bapa mengenali anak sendiri dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

“Setiap anak berbeza. Jadi saya rasa ibu bapa pun kena cari cara yang sesuai dengan keluarga masing-masing.”

Hakikatnya, dunia keibubapaan sentiasa berubah. Trend boleh datang dan pergi. Pendapat di media sosial juga sentiasa bertukar mengikut masa.

Tetapi bagi Fiza, perkara yang tidak pernah berubah ialah tanggungjawab seorang ibu untuk membesarkan anak-anak dengan kasih sayang, disiplin dan nilai yang diyakininya mampu menjadi bekalan apabila mereka dewasa nanti.

Bergandingan dengan Fizi Ali, Fiza bakal menggalas tugas sebagai hos karpet merah Anugerah Juara Lagu 40 yang bakal bersiaran pada 15 Ogos ini. Saksikan secara langsung di TV3 dan strim secara eksklusif di Tonton.