Memulakan karier dengan muncul menjadi finalis pertandingan Golden Teen Search oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM, bakat besar yang ada dalam darah Liza Hanim membuat pemilik Vokal Terbaik Juara Lagu 2003 ini menjadi salah seorang penyanyi wanita disegani kini.
Artikel Berkaitan: ‘Mengata Aku Seorang Saja Sudah, Tak Payah Kacau Anak-Anak Aku’ – Liza Hanim
Artikel Berkaitan: ‘Saya Bukan Nak Masuk Pertandingan Ratu Cantik’ – Liza Hanim
Sudah miliki tujuh album penuh
Jika tidak masakan dengan banyak lambakan penyanyi baharu, kerjaya seni Liza pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim, 43, tidak pernah merudum.
Buktinya, Liza Hanim yang menyertai Gegar Vaganza musim empat kembali mempamer kredibiliti lewat penyertaan dalam program realiti sama untuk musim ke-10 iaitu Gegar Vaganza All Stars yang disertai bersama mantan-mantan juara Gegar Vaganza.
Seiring pembabitan dalam GV yang memberi peluang generasi baharu mengenal aura seorang Liza Hanim, lagu-lagu miliknya seperti Sejuta Maaf berada dalam carta Muzik-Muzik.
Sudah memiliki tujuh album penuh, kejayaan demi kejayaan seperti Juara Bintang Penghibur RTM 1999, Naib Juara di Festival Muzik Shanghai, China (2000) dan Persembahan Vokal Duo/ Kolaborasi Terbaik AIM 2022, nama Liza Hanim juga sering digunakan sebagai rujukan penyanyi wanita yang mempunyai kualiti vokal terbaik di tanah air.
Setelah 27 tahun dalam industri, tembang demi tembang yang sudah fasih didendangkan seperti Siapa Sangka Siapa Menduga, Andainya Aku Bersuara, Gelisah Mimpi dan Merawat Luka Terpendam, Liza Hanim buat julung kalinya tampil dengan konsert berskala besar.
Diberi nama Liza Hanim 27 Years Journey In Concert, konsert ini dibawakan penuh bangga oleh LH Media SB dengan penganjur bersama Laugh Out Loud Entertainment.
Zepp KL dipilih sebagai lokasi untuk menyatukan bersama peminatnya pada 4 Februari 2024.
Sebagai penganjur bersama, LH Media SB dan Laugh Out Loud Entertainment tidak akan melepaskan peluang menganjurkan Liza Hanim 27 Years Journey In Concert kerana penjenamaan Liza Hanim sebagai anak seni dan penyanyi dengan imej bersih dan bakat yang sentiasa disanjung peminat.
Konsert ini juga mendapat sokongan dari Kementerian Komunikasi & Digital melalui MyCreative Ventures Sdn.Bhd.
Ini akan menjadi momen yang tepat buat Liza Hanim sebagai penyanyi yang sudah 27 tahun bergelumang dengan dunia seni mempunyai sebuah konsert khas buat dirinya dan peminat.
27 tahun juga dirasakan sudah sangat signifikan dan cukup matang buat seorang penghibur berkaliber seperti Liza Hanim mempamerkan kualiti dan segudang pengalamannya.
Justeru kami sangat teruja dan berbesar hati untuk melihat Liza Hanim 27 Years Journey In Concert terlaksana dengan sukses dan meninggalkan momen bukan hanya kepada pihak kami tetapi seluruh peminat yang sudah sekian lama ingin berada dalam ruang konsert milik penyanyi pujaan mereka ini.
Tidak mahu kecewakan peminat
Berikrar untuk tidak mahu mengecewakan temu janji perdana bersama peminat lewat Liza Hanim 27 Years Journey In Concert, Liza Hanim sudah merencana untaian hit yang akan didendangkan lalu disambut nyanyi dan penuh sorak sorai pada malam penuh bermakna itu.
Tentulah saya sangat teruja untuk mengadakan konsert setelah 27 tahun berkelana dalam dunia seni nyanyian.
Lebih mengujakan selain akan mendendangkan lagu-lagu popular dan malar segar dahulu, saya akan membawakan single terbaru yang dihasilkan oleh komposer hebat, Ajai iaitu Mengertilah.
Mengertilah yang dirilis pada 15 September lalu diterbitkan oleh ISK Channel dengan diedarkan oleh Indigital Music. Ia adalah buah tangan terbaharu Ajai buat Liza Hanim selepas 20 tahun.
Tambah Liza Hanim apa yang lebih penting adalah momen pertemuan penuh makna bersama peminat selepas 27 tahun bergelar penghibur yang bakal dicipta kelak.
Liza Hanim 27 Years Journey In Concert bukan sekadar tentang saya akan mendendangkan lagu-lagu layaknya sebuah konsert.
Tetapi adalah tentang pertemuan intim saya bersama peminat setia sejak 27 tahun ini serta berkenalan dengan peminat baharu yang baru mengenal Liza Hanim lewat single atau pembabitan saya dalam beberapa program seperti GV.
Inilah momen yang saya tunggu sebagai lambang apresiasi kepada semua yang tak jemu menghargai dan menyokong karier seni saya.
Untuk itu jangan sampai terlepas temu janji bersama pada bermula pukul 8.30 malam.