Penyanyi Hafiz Suip mengakui bahawa perkara paling menyedihkan dalam hidupnya adalah terpaksa berjauhan dengan dua anak tersayang sekali gus perkara itu satu ujian besar yang terus membelenggunya sebagai seorang bapa.

Artikel Berkaitan: #AJL39: ‘Saya Nak Anak-Anak Bangga Bila Tengok Saya Di Kaca Televisyen’ – Hafiz Suip

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Hafiz Suip Harap Dapat Selesai Cara Baik, Anggap Konflik Rumah Tangga Ujian Allah SWT – ‘Moga Kami Berpisah Cara Baik’

Berpisah dengan anak-anak

Menerusi hantaran di Instagram, Hafiz, 35, berkata, situasi tersebut masih berlarutan hingga ke hari ini dan memberi kesan mendalam terhadap emosi dan kehidupannya.

Saya rasa apabila berjauhan dengan anak, itulah perkara paling sedih. Sampai sekarang saya masih melaluinya (masih berjauhan).

Meskipun melalui fasa yang mencabar, pelantun lagu Awan Nano itu tetap memilih untuk bersyukur dan reda atas setiap ketentuan Ilahi.

Saya bersyukur sahaja, bersyukur dengan setiap pemberian Tuhan. Saya cuba untuk berdamai dengan kehidupan, tak mahu cari salah.

Kerana cari salah itu buat saya kusut. Bila bersyukur dan reda, insya-Allah akan dapat kebahagiaan itu.

Dalam pada itu, Hafiz turut mengakui tidak mudah untuk berdepan dengan pelbagai tanggapan dan persepsi masyarakat terhadap dirinya, terutama apabila ada yang terus-menerus menilainya secara negatif.

Banyak tanggapan orang pada saya, tapi paling sedih bila orang anggap saya jahat sahaja di mata mereka. Mulut orang kita tak boleh tutup.

Apa yang saya boleh buat, jalankan hidup seperti biasa. Lambat-laun orang akan faham dan tahu kebenarannya.

Terdahulu, juara Akademi Fantasia 7 ini mengesahkan rumah tangganya bersama isteri, Nureffy tidak dapat diselamatkan lagi dan sedang dalam proses bercerai.

Imbas kembali, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5.

Sumber: Instagram