berita

Hajat Konvo Tidak Kesampaian, Bertukar Jadi Hari Pengebumian Anak Saudara

October 14th, 2019 | by Shira
Kini Trending

Hari konvokesyen merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang bergelar pelajar setelah sekian lama bertungkus-lumus ke kelas, menyiapkan tugasan dan sebagainya.

Dalam kegembiraan menyambut hari paling bermakna tersebut, individu ini diuji dengan pemergian anak saudara yang baru dilahirkan.

Keluarga datang ke Mesir

10 Oktober, sepatutnya menjadi hari saya meraikan konvokesyen ke 13 sebagai graduan Universiti al-Azhar, Mesir setelah 4 tahun belajar di sini. Ada kejutan di hari tersebut yang saya khaskan untuk kedua ibu bapa saya.

Mereka tiba awal pagi 10 Oktober itu untuk dua tujuan utama, meraikan majlis Konvokesyen saya dan melihat cucu ketiga mereka yang lahir 3 hari yang lalu. Tepatnya pada 4.30 pagi waktu Mesir, 7 Oktober 2019, Adam Munib bin Muhammad Ihsan. Anak sulung kepada pasangan Muhammad Ihsan dan Siti Hajar bin Mohd Zamrin, adik saya.

Saya, isteri dan anak-anak beserta beberapa kawan Hajar ada pada hari Adam dilahirkan. Kami menemani Hajar dan Ihsan sepanjang berada di wad hospital menunggu putera sulung ini lahir ke dunia. Saya menjadi saksi betapa gembiranya sang ayah apabila merangkul anaknya. Syahdu sungguh suasana di bilik itu apabila Adam diazankan di telinganya. Kegembiraan memenuhi hati-hati kami.

Bacaan kuning Adam tinggi

Pada 9 Oktober 2019, Adam dimasukkan ke dalam wad pada pukul 4 pagi. Doktor kata bacaan kuningnya tinggi. Petang hari yang sama, sekitar jam 7 malam, si bapa melawat Adam. Doktor khabarkan bahawa Adam kena jangkitan dan ada beberapa masalah lain. Kata doktor, peluang untuk hidup tipis. ‘Esok, pukul 6 petang baru boleh melawat. kata doktor’. Ihsan jelaskan kepada kami waktu lawatan yang dibenarkan, ‘InshaAllah, Adam kuat.’

10 Oktober, pesawat yang mengandungi mak ayah dan adik bongsu kami selamat tiba di Kaherah, sekitar jam 2 pagi. Ketibaan mereka disambut hangat dengan lambaian si kecil Ammar Yasir saat melihat mereka dari kejauhan.

‘Esok pagi, sebelum kita gerak ke konvo, kita pergi lawat Adam dulu. Biar tenang hati atuk dan neneknya.’ kataku. Pagi yang sama, dengan berpakaian jubah azhari dan imamah, siap berkasut hitam dan hati penuh girang, kami bertolak dari rumah Hajar ke hospital. Hajatnya mahu menjenguk si kecil Adam.

‘Anak kamu dah mati’

Setibanya di sana, jururawat menahan kami. Hanya boleh melihat bayi dengan kebenaran doktor. Saya dan Ihsan naik ke tingkat atas. ‘Doktor mana?’, ‘Doktor dalam perjalanan, dalam 10 minit akan sampai.’ kata si pegawai. Setelah beberapa ketika, dia memanggil kami. ‘Anak kamu dah mati,’ katanya bersahaja.

‘Mati? Betul ke anak kami?’. ‘Ya. Anak kepada Siti Hajar kan?’ Ya Allah! ‘Bila dia mati? Kenapa tak maklumkan kami?’. ‘Sekitar subuh.’ katanya. ‘Dah waktu tu subuh.’ ‘Bila secara tepat?’ dan doktor jawab ‘mungkin jam 5 atau 6.’ Kemudian dia bangun dan bergelak ketawa dengan rakannya yang lain. Seakan berita kematiannya itu tiada apa-apa.

Kami melihat jam. Pukul 8.30 pagi. Sanggup pihak hospital tak menelefon kami. Kalau kami tak singgah pagi ini, mungkin akan tahu petang nanti bila melawat. Saya memeluk Ihsan, yang tertampar dengan berita itu. Saya turun dan maklumkan kepada ayah dan mak yang sedang menunggu di bawah.

‘Mak, ayah, Adam dah tak ada’. ‘Ya Allah, bila? Kenapa tak bagitahu?’ Air mata mula bergenang. ‘Mana doktor, ayah nak jumpa.’ Bermulalah soal-siasat antara ayah dan doktor.

Tidak diberitahu awal tentang kematian

Panjang. Saya tak mahu ceritakan secara terperinci di sini. Cuma ada beberapa kekesalan yang saya ingin tulis. Pertama, pihak hospital tak maklumkan pun kepada kami tentang kematian Adam. Langsung tak call atau mesej. tiada. None.

Bila ditanya mengapa, jawapannya ialah pejabat pendaftaran kematian hanya buka 9 pagi. Jadi buat apa tahu awal-awal. Allah, ini anak, bukannya barang. mak dia tak tidur malam memikirkan nasib anaknya, kamu boleh buat keputusan besar tanpa consult ibu bapanya?

Kedua, kami suspek ada kecuaian di pihak hospital. Jelas apabila diminta rekod sekian-sekian, doktor kata semua ditulis tangan. Bila ayah minta tunjuk, doktor akan masuk ke dalam dan bawa kertas yang dipenuhi dengan catatan yang seperti baru ditulis.

Kenyataan-kenyataan doktor pula sering berubah-ubah. Sekejap kata jam sekian, kemudian tukar jam sekian pula. Kata mak, ‘seperti ada menyembunyikan sesuatu.’ Kesal. Kesal dengan cara pihak doktor handle kes ini. Mungkin sekiranya kes ini dihandle di Malaysia, peluang Adam untuk melihat hari baru lebih cerah.

Adam, anak syurga

Saya melihat besarnya hati ayah yang mengucapkan ‘Jazakallahu hairal jazak’ sambil bersalam dengan doktor tadi. Walaupun saya tahu, dia merasakan ada banyak perkara yang tak kena berlaku.

Kami redha. Takdir Tuhan tiada yang boleh menghalang. Namun, sebagai manusia kita disuruh untuk berusaha sebaik mungkin. Dan di sana ada juga dosa membunuh. Besar azabnya.

Itulah. Adam anak syurga. Hari itu tangan saya seharusnya mengenggam skrol. Namun, hanya sekujur tubuh yang sejuk berkain putih yang menjadi ganti. Kain kafan yang membalut tubuh seorang Adam Munib.

Sumber: Ahmad Harits Mohd Zamrin