Foto: Reuters
Di Thailand, pihak kerajaan mula mengerahkan skuad anjing pengesan virus bagi mengesan orang ramai yang dijangkiti Covid-19.
Menerusi laporan Reuters, langkah itu memudahkan pihak kerajaan untuk mengesan dengan pantas kes positif Covid-19 dalam kalangan masyarakat yang berada di tempat sesak.
Enam anjing dilatih
Sebagai permulaan, enam anjing telah dilatih oleh penyelidik Fakulti Sains Veterinar di Universiti Chulalongkorn Bangkok. Menurut penyelidik, kumpulan haiwan itu dilatih menghidu bau unik yang terhasil dari peluh orang yang dijangkiti Covid-19.
Sejak 10 Mei lalu, tiga daripada anjing itu, Angel, Bobby dan Bravo sudah menguji lebih 1,000 sampel dari kakitangan kolej, penuntut dan orang ramai di luar kampus. Tambah penyelidik, setakat ini keputusan yang diperoleh amat menakjubkan dengan kadar kejayaan mencecah hampir 95 peratus.
Selepas beberapa saat menghidu sampel peluh, yang diletakkan di bekas keluli, anjing itu akan mengesan mana satu sampel daripada individu yang dijangkiti Covid-19. Jika sampel itu tiada jangkitan, anjing itu akan mengesan sampel seterusnya. Namun, jika positif mereka akan duduk di depan sampel itu.
Ambil sampel peluh
Menurut seorang sukarelawan yang dikenali sebagai Suwanna Thanaboonsombat, skuad anjing tersebut mampu membantu mereka yang tidak dapat keluar untuk membuat ujian pengesanan. Tambahnya lagi, masyarakat di Thailand hanya perlu mengambil sampel peluh mereka di bawah ketiak dengan menggunakan putik kapas sebelum menghantarnya ke makmal serta keputusannya juga agak tepat.
Penyelidik berkenaan merancang menghantar skuad berkenaan keluar ke komuniti yang disyaki sebagai kawasan panas Covid-19. Skuad itu akan menjalankan tugas mereka dalam kenderaan bergerak manakala petugas akan mengumpul dan menyaring sampel daripada komuniti.
Bekas sampel yang direka khusus juga sudah disediakan agar haiwan tersebut tidak menyentuh sampel yang sedia ada sebagai langkah keselamatan. Mereka juga percaya reseptor pada sel saluran pernafasan anjing bukanlah persekitaran yang baik untuk virus berkenaan menyerang.
Sumber: Reuters