berita

Harap Beri Peluang Baiki Kesilapan, Lelaki Ini Nak Tolong Bayar Denda Gadis Hina Polis

April 7th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang gadis pembantu kedai yang dikenali dengan nama Nursahira Mohd Mizuar sebelum ini telah dijatuhi hukuman denda RM10 ribu dan 3 bulan penjara oleh Mahkamah Alor Setar, Kedah. Tertuduh telah mengaku bersalah kerana mengeluarkan komunikasi jelik terhadap pihak polis di laman media sosialnya pada 27 Mac yang lalu.

Terbaru, seorang insan berhati mulia iaitu Muhammad Azlan Al-Amin dikatakan sanggup datang dari jauh semata-mata ingin membantu membayar denda yang dikenakan terhadap gadis malang tersebut.

‘Bukan saya merestui kesalahan’

Dari Besut, Terengganu ke Mahkamah Tinggi Alor Star, Kedah bagi tujuan proses permohonan ikat jamin dan bayaran denda serta rayuan kes remaja perempuan dipenjara kerana mengeluarkan kenyataan hina polis. (Nur Syahirah ,Pendang, Kedah). Bukan saya merestui kesalahan yang dilakukan remaja terbabit, bahkan saya tentang sekerasnya tindakan remaja terbabit menghina penjawat awam. Cuma saya berharap remaja tersebut diberi peluang melalui proses rayuan ini untuk beliau memperbaiki kesilapan seterusnya membina kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

Sebelumnya saya tak kenal pun siapa remaja ini sehinggalah kes beliau jadi viral, saya baca dan saya menangis simpati. Saya mahu bantu kerana Allah. Hari yang sama beliau dijatuhkan hukuman penjara serta gagal bayar denda, saya terus arahkan Peguam kami yang hebat Dato Naran Singh untuk fail rayuan. Kini, proses itu telah bermula. Doakan saya.

Bantu bayar denda RM10k

Menanti hari esok untuk ke Mahkamah Tinggi Alor Star bagi proses membayar denda serta permohonan ikat jamin serta merayu diringankan hukuman ke atas remaja perempuan dipenjara kerana hina polis. Semua hotel tutup. Aku yang biasa tidur lena di Wakaf tengah sawah padi 10 tahun lalu tak pernah kisah bermalam dalam kereta bersama adikku Amirul Abdullah. Ya, malam ini kami bermalam dalam kereta sementara menunggu subuh esok, insyaAllah.

Ramai kawan kawan dan kenalan hubungi aku meminta agar aku bermalam di rumah mereka. Aku hargainya sahabat, jutaan terima kasih. Tapi, izinkan aku menolaknya dengan penuh hemah. Aku tak ingin menyusahkan sesiapa, lagipun aku dah biasa dengan susah payah.

Inilah namanya pengorbanan

Inilah namanya pengorbanan. Kami anak kampung, susah payah dah jadi resam kehidupan. Cuma bezanya puluhan tahun lampau kami susah untuk bina diri sendiri, kini kami sangup susah demi menyelamatkan insan lain.

Aku tak kisah penat lelah, tido tepi jalan dalam kereta adalah terlalu selesa dibandingkan terkurungnya seorang insan atau remaja perempuan di balik jeriji besi hanya kerana beliau belum mengerti erti hidup. Aku bukan wakil rakyat, aku bukan menteri, aku bukan orang kaya aku hanya ada hati dan jiwa yang bahagia melihat orang lain gembira. Biar, biar aku susah demi insan insan fakir aku bahagia kerana itu. Bahagia yang lahir dari hati dan takkan mungkin bahagia itu mampu kau beli di atas tilam yang empuk.

Permohonan ditolak

Mahkamah Seksyen menolak permohonan kami untuk penggantungan hukuman sementara menunggu proses rayuan. Peguam kami akan segera membuat permohonan rayuan di mahkamah tinggi dalam tempoh terdekat ini. Kelihatan ayah kepada tertuduh yang tidak dapat menahan sebak di hadapan pintu masuk Kompleks Mahkamah Alor Star. Aku juga seperti kalian simpati, bahkan hatiku turut menangis walaupun antara kita tak pernah kenal. Tapi harus kita ingat, perjuangan belum berakhir. Bahkan baru bermula.

Jangan bersedih, kita masih ada peluang! Dan saya akan terus berjuang bersama kalian demi masa depan anak anak bangsa yang inginkan kehidupan lebih baik setelah kesilapan semalam.

Sumber: Muhammad Azlan Al-Amin

SKIP THIS AD ×