Pelakon Adam Lee menyatakan dia memilih tarikh pernikahan pada 24 Oktober bersempena ulang tahun kelahiran isteri tercinta, aktres Sweet Qismina.
Artikel Berkaitan: Sweet Qismina Sah Bergelar Isteri Adam Lee
Sebab pilih tarikh hari ini
Ketika ditemui OhBulan!, Adam berkata hari ini secara rasminya dia mengambil alih tanggungjawab menjadi ketua keluarga dalam hidup Sweet.
Alasan kenapa saya memilih 24 Oktober sebab tarikh ini adalah hari Sweet dilahirkan dan pada hari ini juga saya mengambil tanggungjawab sebagai suami.
Besar tanggungjawab saya, tapi Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya.
Tambah aktor berumur 27 tahun, dia sangat menitikberatkan soal kejujuran sepanjang empat tahun menyulam cinta.
Apa yang penting dalam sesebuah perhubungan adalah kena jujur.
Jangan sesekali tipu pasangan. Sebagai contoh, kalau saya ada menipu mungkin kami belum sampai tahap ini.
Tak pernah putus cinta
Sementara itu, pemilik nama Farhanna Qismina Supandi, 25, bersyukur mereka tidak diuji dengan dugaan besar sebelum tiba ke hari bahagia.
Sewaktu kami mula berkenalan, saya masih belajar iaitu di tahun akhir. Mak saya tidak ada masalah untuk kami berkawan, tapi dengan syarat saya kena habiskan belajar.
Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu perhubungan kami dipermudahkan. Tidak ada istilah ‘on off’. Malah, tahun pertama kenal, kami sudah hebahkan di media sosial.
Mungkin sebab itu ramai mendoakan kami kekal ke jenjang pelamin. Allah makbulkan sampai sekarang.
Terdahulu, pasangan itu selamat bernikah dengan sekali lafaz di The Boathouse, Ampang, jam 10.40 pagi.
Pada majlis itu, Sweet menerima mas kahwin RM2,410.97 manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan serta tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Sweet.
Untuk rekod, Sweet dan Adam mengikat tali pertunangan pada 24 Oktober 2021 selepas tiga tahun bercinta.