Meskipun sudah bergelar penyanyi, Hasif Upin masih mahu mengembangkan bakat nyanyiannya dengan menempa nama menyertai sesi uji bakat program realiti nyanyian ikonik, One In A Million (OIAM).
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Takkan Nak Makan Pasir’ – Hasif Upin Dakwa Pihak Pengurusan Suruh Kosongkan Rumah Sewa Dalam Tempoh 10 Hari
Hasif ‘join’ uji bakat
Meskipun sudah memuat naik video uji bakat secara dalam talian di platform TikTok, Hasif tidak teragak-agak mencuba nasib ke sesi uji bakat terbuka di Karnival Jom Heboh BABA’S Johor Bahru pada Sabtu.
Menurut Hasif, tujuan dirinya menyertai sesi uji bakat OIAM adalah untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa dirinya mempunyai bakat menyanyi yang tersendiri.
Saya tahu tentang OIAM, tapi tak sangka ada sesi ujibakat dekat Johor! Baju pun tak sempat nak ‘prepare’ betul-betul.
Sebenarnya, hadiah (kemenangan) adalah bonus bagi saya. Yang paling penting ialah saya ingin menunjukkan bakat dan persembahan saya kepada semua.
Sejak dulu lagi, saya telah bercita-cita untuk menyertai program realiti TV, tetapi hingga kini, belum ada rezeki untuk melakukannya.
Tak anggap diri penyanyi hebat
Sementara itu, pemilik nama Muhamad Hasif Sharaudin tetap merendah diri dan tidak menganggap dirinya sebagai seorang penyanyi hebat meskipun pernah berada di pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).
Menurut Hasif, pencapaiannya sebagai seorang penyanyi ketika ini masih belum memadai.
Sebelum saya masuk audition OIAM ini pun, saya anggap saya ini macam peserta lain, orang biasa lah kita katakan.
Walaupun saya dah bergelar penyanyi, tapi bagi saya bakat-bakat baharu di luar sana memang hebat-hebat belaka. Jadi, kalau ada rezeki untuk menang, saya akan bersyukur.
Saya sebenarnya tak betul-betul puas menyanyi semasa di AJL dan rasa belum cukup puas untuk mempersembahkan bakat saya di pentas.
Jadi, kalau sejujurnya untuk seseorang penyanyi, saya cuma ingin menunjukkan bakat saya ini dengan lagi meluas.
Sekadar info, selepas hampir 15 tahun, OIAM kini kembali untuk musim baharu dengan sesi uji bakat mencari bintang baru diadakan di Karnival Jom Heboh (KJH) Johor Bahru 2024, bermulai semalam dan juga hari ini.
Bertempat di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, sesi uji bakat OIAM bermula pada jam 9 pagi hingga 8 malam dengan guru vokal terkenal, Cikgu Sarah Ismail dan komposer, AG Coco sebagai juri.
Selepas Johor Bahru, uji bakat bersemuka OIAM akan diteruskan lagi di lima lokasi seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur, iaitu pada setiap hujung minggu antara 9 hingga 17 November ini. Lokasi uji bakat akan diumumkan dalam masa terdekat.
Namun begitu, buat mereka yang tidak berkesempatan untuk menyertai uji bakat secara bersemuka boleh sertai uji bakat secara dalam talian bermula pada 1 hingga 17 November ini.
Apa yang ada perlu buat hanyalah memuat naik video nyanyian anda berdurasi satu minit di TikTok dengan hashtag rasmi #CalpisOIAMTV3 dan #SegarRasaSodapSuara.