Hajat seorang pemuda untuk bertemu dengan ibu kandungnya selepas 25 tahun terpisah menjadi kenyataan apabila difahamkan ibunya itu sudah menghubunginya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Peluk Erat & Menangis, Ibu Bapa Sebak Jumpa Semula Anak Yang Diculik 38 Tahun Lalu
Jumpa satu Syawal
Memetik laporan Harian Metro, pemuda yang dikenali sebagai Muhamad Zulkeffli itu memaklumkan ibunya, Rofizah Mat Saad mengaku bahawa dia merupakan ibu kandung yang dicarinya selama ini dan bersetuju untuk pulang ke kampung untuk beraya bersama mereka sekeluarga.
Alhamdulillah, emak ada menghubungi saya beberapa hari selepas kisahnya disiarkan di Harian Metro dan Buletin TV9.
Emak ada memohon maaf kepada saya dan akui kesalahannya. Sebagai anak, saya tidak pernah berdendam malah memang menunggu kepulangan emak.
Saya mengajak emak menyambut Aidilfitri bersama dan syukur dia setuju untuk pulang ke kampung serta bertemu kami 1 Syawal nanti.
Dalam pada itu, Zulkeffli meluahkan rasa syukurnya kerana dapat bertemu semula dengan ibu kandungnya itu serta berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya.
Saya hargai pertolongan semua terutama pihak Harian Metro dan TV9. Cuma, saya mohon maaf kerana tak dapat bawa emak ke depan memandangkan dia pesan enggan semua itu (publisiti) sebab malu.
Saya nak kongsikan (perkembangan) di Facebook pun emak tak bagi jadi terpaksa ikut permintaannya.
Emak nak jumpa kami menyambut hari raya pun saya sudah cukup bersyukur kerana sudah lama menanti detik itu.
Terdahulu, kisah mengenai Zulkeffli yang terpisah dengan ibu kandungnya sejak berusia sembilan tahun disiakan melalui akhbar Harian Metro dan Buletin TV9.
Susulan itu, dia berjaya mendapat petunjuk mengenai lokasi terkini ibu kandungnya yang menetap di Ara Kuda, Seberang Perai, Pulau Pinang selepas dihubungi orang awam.
Sumber: Harian Metro