Sedar tak sedar program realiti mencari penyanyi sebenar I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVM) kini memasuki musim yang keempat! Program yang diadaptasi daripada program hiburan popular Korea Selatan itu masih mengekalkan dua pengacara yang sama iaitu Shuk Sahar dan Sean Lie.
Apa yang pasti, kemeriahan ICSYVM4 akan menghiburkan hujung minggu anda semua bermula 16 Mei ini dan akan bersiaran setiap hari Ahad, menerusi saluran televisyen kegemaran rakyat Malaysia TV3.
Bersiaran selama 11 episod
Jika sebelum ini, ICSYVM3 berjaya meraih purata tontonan sebanyak 3.1 juta dan yang tertinggi dicatatkan adalah sebanyak 4.25 juta tontonan. Manakala, menerusi platform digital ICSYVM3 berjaya memperoleh 55.1 juta tontonan. Memang power habislah! Sedikit kelainan pada musim kali ini apabila Alif Satar, Jihan Muse, dan Fad Bocey dipilih sebagai panel penyiasat.
Program ini masih mengekalkan format yang hampir sama seperti sebelum ini dan para peserta perlu melepasi beberapa pusingan terlebih dahulu sebelum berjaya ke pusingan akhir.
Di pusingan pertama, video enam pemain misteri akan ditayangkan kepada penyiasat (para panel) dan artis jemputan. Di setiap video yang dimainkan selama tiga saat suara pemain itu akan kedengaran dan mereka (penyiasat dan artis jemputan) perlu meneka dan menyiasat bagi menentukan siapa penyamar dalam kalangan enam peserta. Pusingan ini akan menyingkirkan seorang penyanyi misteri.
Lima peserta yang tinggal di pusingan kedua akan mempersembahkan lagu masing-masing menerusi kaedah lip-sync secara solo. Menerusi pusingan ini, terdapat kelainan di mana suara mereka akan didengar secara dua kali (dua versi yang berbeza) dan para penyiasat perlu mengenal pasti siapa penyamar berdasarkan persembahan yang dibuat dan perlu menyingkirkan dua lagi peserta.
Sementara itu di pusingan seterusnya, tiga orang daripada kumpulan penyiasat akan dipanggil untuk mendengar suara asli para penyanyi yang tinggal, selama 30 saat. Pada masa yang sama, mereka diberi masa selama 30 saat bagi menyakinkan dan mempertahankan penyanyi sebenar kepada artis jemputan. Bahkan, sesi ini turut memberi ruang question and answer para penyanyi (Q&A) dengan artis jemputan. Pusingan ini memerlukan artis tersebut untuk menyingkirkan seorang penyanyi misteri.
Peserta misteri yang berbaki di pusingan terakhir akan membuat persembahan sekali lagi dengan bantuan penyiasat manakala artis jemputan akan memilih seorang daripada mereka untuk berduet bersama. Jika penyanyi misteri itu merupakan penyanyi sebenar dia akan berentap dengan penyanyi yang lain untuk merebut hadiah yang lumayan. Manakala, jika dia merupakan penyanyi suara sumbang yang berjaya, dia akan membawa pulang duit sebanyak RM3,000.
Jangan lupa tengok!
Jadi korang kat rumah tu, nak tahu siapa penyanyi sebenar, siapa penyanyi yang menyamar jangan lupa saksikan ICSYVM4 setiap hari Ahad bermula 16 Mei, jam 9 malam menerusi saluran TV3 ataupun layari Tonton. Lebih menarik, episod pertama pada 16 Mei nanti merupakan episod istimewa Hari Raya yang menampilkan kumpulan Floor 88 sebagai artis jemputan. Nak tahu apa yang menarik? Kenalah tengok!
Pada masa yang sama korang boleh juga gunakan tanda pagar #ICSYVM menerusi platfom media sosial korang bagi merancakkan lagi perbualan.