Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menerusi Saudi Press Agency melaporkan, negara itu akan membenarkan pembukaan semula ibadat umrah secara berperingkat. Sebelum ini, segala ibadah haji dan umrah terpaksa ditangguhkan selama tujuh bulan berikutan pandemik Covid-19 yang kini melanda dunia.
Dibuka secara berperingkat
Pembukaan ibadah umrah secara berperingkat itu akan bermula pada 4 Oktober 2020 ini. Sebagai permulaan, kira-kira 6,000 penduduknya dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula tarikh berkenaan.
Manakala, bagi jemaah dari luar negara pula dibenarkan mulai 1 November 2020 dengan kapasiti dinaikkan sehingga 20,000 orang sehari. Tambah kenyataan kementerian lagi, ibadah umrah akan dibenarkan dalam kapasiti penuh selepas ancaman COVID-19 dapat dihapuskan sepenuhnya.
Stabilkan semula sumber ekonomi
Kementerian Dalam Negeri negara tersebut membuat keputusan untuk membenarkan pelaksanaan umrah sebagai maklum balas terhadap ‘aspirasi umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia’ bagi mengerjakan ibadah dan menziarahi tempat suci.
Kerajaan negara Arab Saudi berharap agar dapat menerima kunjungan lebih 30 juta jemaah ke negara itu pada setiap tahun menjelang 2030. Perkara ini adalah bagi menstabilkan semula sumber ekonomi negara tersebut selain bergantung kepada sumber pengeluaran minyak negara.
Sumber: BH Online, Saudi Press Agency