Kontroversi putus tunang yang melanda Sufian Suhaimi dan Elfira Loy semakin kurang diperkatakan oleh netizen. Kedua-dua mereka seperti sudah kelihatan boleh meneruskan kehidupan seperti biasa dan bekerja seperti biasa sekaligus melupakan apa yang berlaku.
Pelbagai andaian dan spekulasi dibuat oleh netizen mengenai sebab terputusnya hubungan mereka. Pun begitu, tiada kenyataan rasmi daripada Elfira mahupun Sufian tentang sebab mereka tidak lagi bersama.
Tepis spekulasi hantaran tinggi
Menurut Sufian seperti dilaporkan Berita Harian, dia menolak khabar angin mengatakan hantaran tinggi diminta keluarga bekas tunangnya itu adalah sebab mereka tidak melanjutkan hubungan ke fasa seterusnya.
Tambahnya, sesetengah pihak membuat andaian sendiri dalam isu peribadinya bagi menjadi yang pertama tahu akan segala benda. Gosip di forum internet, pos laman sosial dan portal hiburan antara lain menyebut punca terlerai ikatan Elfira-Sufian adalah kegagalan penyanyi itu menyediakan wang hantaran seperti diminta keluarga Elfira.
Saya percaya, dalam hal sebegini, banyak pihak seperti mahu menjadi yang pertama. Seolah-olah, mereka tahu segala-gala yang berlaku.
Tidak kurang juga yang membuat andaian dan kesimpulan sendiri, termasuklah dalam soal wang hantaran. Sedangkan, hakikatnya tiada isu pun dalam perkara itu.
Silalah berhenti daripada membuat kesimpulan sendiri dan hormatilah keluarga saya serta Elfira.
Kena hafal surah Al-Mulk
Menurut penyanyi Terasa Ada ini, tiada nilai hantaran ditetapkan keluarga bekas tunangnya itu, bagaimanapun, ibu Elfira ada mensyaratkan dia mesti hafal surah al-Mulk dan menabung.
Sebelum berkahwin dengan anaknya, ibu Elfira ada meletakkan syarat seperti saya perlu menghafal Surah al-Mulk, selain menabung sejumlah wang setiap hari.
Sufian juga diminta mengulas tindakan netizen yang mengejek dan mempersenda dirinya atas berita sedih itu. Namun, dia menganggap perkara itu tidak perlu dijadikan lawak dan memaafkan perbuatan itu.
Dalam hal mempersendakan ini, ia tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka. Begitupun, saya maafkan mereka kerana masing-masing tidak tahu apa yang berlaku.
Sumber: Berita Harian