Foto: Yomiuri Shimbu
Seorang wanita yang bergelar ibu di Osaka ditahan pihak polis selepas disyaki membiarkan anaknya yang berusia sembilan tahun kebuluran.
Artikel Berkaitan: Dilayan Seperti ‘Mesin Buat Anak’, Wanita Fail Cerai Selepas Dipaksa Hamil ‘Baby Boy’
Nak tuntut duit insurans
Gambar sekadar hiasan
Memetik laporan portal Yomiuri Shimbun, wanita yang dikenali sebagai Kasumi Nawata, 34, didakwa melakukan perbuatan itu hanya kerana ingin berbelanja dengan menuntut wang pampasan daripada syarikat insurans.
Difahamkan, Kasumi didakwa hanya membenarkan anaknya itu untuk menjamah makanan yang disediakan pihak sekolah pada waktu rehat dan tidak membenarkannya untuk makan sepanjang berada di rumah.
Perbuatannya itu telah menyebabkan mangsa mengalami gejala kekurangan gula dalam badan (hipoglikemia ketonik) dan dimasukkan ke hospital dari 22 hingga 27 Januari lalu.
Sehinggalah, seorang jururawat di hospital terbabit terdengar perbualan Kasumi dan anaknya menerusi pembesar suara di telefon bimbit pada 5 Februari yang lalu.
Jururawat itu mendakwa Kasumi meminta anaknya untuk tidak menyentuh makanan yang disediakan hospital dan hanya berbaring sepanjang masa.
Kini mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil setelah dirujuk ke jabatan kebajikan di sana.
Dalam pada itu, Kasumi difahamkan telah pun menerima pampasan kira-kira 5.7 juta yen (RM182,981) selepas anaknya itu dimasukkan ke hospital sebanyak 322 kali sejak dari tahun 2018.
Pihak polis mengesyaki Kasumi membelanjakan kesemua wang pampasan tersebut untuk makan di restoran dan rawatan di salon kecantikan.
Sumber: Yomiuri Shimbun