Umum tahu, penyanyi Datuk Aishah Ariffin sudah kembali kepada fasa solo selepas sah bercerai dengan pasangannya, Syamsul Bahari pada Disember tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Aishah Sah Cerai Talak Satu Menerusi WhatsApp – ‘Saya Bukan Robot, Menangis Baca Mesej’
Tak banyak perubahan
Ditanya perubahan kehidupan, Aishah menyatakan dia tidak terkesan sangat kerana sejak dahulu lagi sudah terbiasa hidup berdikari.
Saya okay saja. Saya tidak ada banyak perubahan dalam kehidupan. Saya ada rumah sendiri, anak-anak dan lain-lain.
Cuma tak ada pasangan saja. Saya memang dari dulu berdikari. Kalau ada persembahan pun akan memandu sendiri. Kekuatan saya adalah anak-anak selain menjaga hubungan baik dengan Allah SWT.
Aishah ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu yang berjudul ‘Ketentuan Takdir’ di ibu pejabat Universal Music Malaysia, pada Selasa.
Lagu ‘Ketentuan Takdir‘ kini boleh dilayari di semua platform digital seperti Spotify, JOOX, Apple Music, Deezer dan Youtube Music manakala muzik videonya pula boleh ditonton di Youtube Universal Music Malaysia.
Tak berani nak cakap
Penyanyi berumur 57 tahun ini juga tidak ada jawapan sama ada dia masih ingin berumah tangga setelah beberapa kali gagal.
Kata pemilik nama Wan Aishah Wan Ariffin, pada usia sekarang dia selesa hidup solo tetapi perancangan Allah SWT tiada siapa yang tahu.
Sekarang ini tak ada ‘cintan-cintan’. Saya sendiri dan okay saja. Kita tak tahu ajal, kalau hari saya kata tak nak tiba-tiba nanti menjadi lain pula. Buat masa sekarang tawar juga. Tapi kuasa Allah, Dia bolak-balikkan hati ini kita tak tahu.
Kenapa umur sekarang baru ada soalan macam ni? Kenapa masa muda tak ada? Pada usia sekarang, kalau ikut hati lagi senang macam ni (solo).
Nak makan, makan. Nak bangun jam betapa ikut kita, nak masak, nak tempah, nak tidur seharian, tidak ada siapa nak tegur. Tapi kalau tiba-tiba ada cinta hati, kena masak.
Itu semua kita tak tahu. Sebab saya pernah ada pengalaman itu. Dalam pada tak nak, tapi ada juga. Sebab itu tak berani nak cakap.
Dalam pada itu, pelantun lagu Janji Manismu memberitahu dua anak lelakinya akan menjadi ‘gatekeeper’ sekiranya dia sudah bertemu dengan calon pengganti.
Anak-anak cakap kalau ada calon bagi jumpa mereka dulu. Sekarang ini mereka adalah penjaga saya. Sebab mereka pun dah cukup dewasa. Garang pula tu.
Pada 2017, penyanyi bervokal mantap ini mengakui sudah berkahwin kali keempat, namun, enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkahwinannya itu.
Menerusi perkahwinan pertama, Aishah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Armand Azhari, 28, dan Azhad Ahlami, 23, hasil perkahwinan kedua.