Pokok ganja merupakan pokok yang dilarang sama sekali untuk di tanam di negara ini walau dengan apa jua alasan sekali pun. Satu kejadian di Alor Setar, Kedah telah menyaksikan seorang lelaki telah ditahan pihak polis apabila didapati bersalah menanam pokok ganja dihalaman rumahnya. Menerusi laporan Awani, suspek memberi alasan bahawa dia tidak tahu bahawa tanamannya itu merupakan pokok ganja kerana dia sangkakan ianya hanyalah pokok buluh.
Ingatkan pokok buluh
Menurut Pemangku Ketua Polis Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata pihaknya telah menyerbu kediaman suspek dan mendapati terdapat empat pokok ganja yang ditanam di halaman rumah. Pada mulanya suspek tidak mengaku menanam pokok tersebut kerana dia menyangka ianya adalah pokok buluh. Namun, selepas disoal siasat, suspek mengakui bahawa dia menanam sendiri pokok berkenaan bagi tujuan kegunaan sendiri.
Polis siasat mana dapat benihnya
Kesemua pokok itu telah dirampas bagi siasatan lanjut. Tambahnya lagi, polis sedang menyiasat dari mana suspek mendapat benih pokok ganja itu.
Selain itu, suspek yang dikenali dengan panggilan ‘Mat Tarzan’ mempunyai rekod kes lampau berkaitan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati dia positif dadah jenis ganja.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15(1) ADB 1952.
Sumber: Awani