berita

“Ini Bukan Soal Menang Atau Kalah” – Jaclyn Victor, Pemenang Vokal Terbaik AIM19

November 19th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Sebagai seorang bekas juara rancangan realiti tv, Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor sememangnya seorang penyanyi yang mempunyai vokal menarik dan sentiasa memukau para pendengar serta peminat dengan lagu-lagunya.

Terbaru, di majlis Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) yang berlangsung  pada 17 November lepas di Stadium Melawati, Shah Alam, Jaclyn telah berjaya merangkul anugerah ‘Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita)‘ dengan lagunya yang berjudul, “Counting Days” ciptaan Aubrey Suwito. Kemenangan ini telah menjulang nama Jaclyn ke kelas yang tersendiri apabila dia berjaya menewaskan pesaing-pesaing hebat seperti Shila Amzah – “Patah Seribu”, Nora – “Doa”, dan juga Datin Seri Dato Siti Nurhaliza – “I Cry Out”.

Ketika ditemubual oleh OHBULAN!, Jaclyn Victor kelihatan sangat teruja serta memanjatkan rasa bersyukurnya terhadap pengiktirafan yang diberikan.

“Lagu ini telah pun dilancarkan, tapi masih jarang diputarkan di radio dan saya harap selepas ini ia akan bermain di corong-corong radio. Secara jujur, saya sangat bersyukur,” ujar penyanyi yang bakal menginjak umur 34 tahun pada bulan Disember ini.

Jaclyn turut memberitahu, jika ada yang tidak berpuas hati dengan kemenangannya, dia yakin dengan pilihan dan keputusan para juri.

“Mungkin ada yang tak puas hati, walaupun lagu ini (Counting Days) tidak popular, tetapi ia dipilih berdasarkan kualiti, bukannya populariti,” jelasnya Jaclyn merujuk pada lagu yang dicipta oleh Aubrey Suwito itu.

Walaupun terpilih sebagai pemenang dan mengalahkan pesaing-pesaing hebat seperti Siti Nurhaliza dan juga Nora, Jaclyn tetap dengan merendah diri dan tidak menabik dada dengan kejayaan yang dikecapi.

“Ini bukan soal menang atau kalah. Saya tak suka kalau kata saya kalahkan mereka. Saya juga tak setuju nak kata saya lagi bagus dari Siti Nurhaliza.

“Saya rasa semua yang tercalon sudah buat yang terbaik,” tambah Jaclyn.

Dalam pada itu, ditanya bilakah dirinya akan berkahwin, Jaclyn hanya berserah pada takdir dan sempat bergurau bahawa dirinya tidak ada ‘tarikh luput’.

“Saya tak ada tarikh luput dan perkahwinan bukanlah atas dasar kepercayaan tetapi masing-masing perlu sentiasa bersama.”

Bagi yang tidak tahu, Jaclyn Victor kini sedang menjalani hubungan cinta jarak jauh. Dia mula mengenali tunangnya pada tahun 2003 sebelum pertama kali keluar bersama pada tahun 2004. Mereka berdua kemudian telah bertunang pada tahun 2006 dan sehingga kini masing-masing masih tidak berkesempatan untuk mendirikan rumah tangga kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Untuk para peminat setia Jaclyn, penyanyi ini dijangkakan akan melancarkan album terbarunya pada penghujung tahun 2012.

OHBULAN! ucapkan tahniah atas kejayaan yang dikecapi dan berharap agar Jaclyn terus berjaya dan sentiasa menghiburkan para peminat diluar sana.

kredit foto : GUA

SKIP THIS AD ×