Tahun ini, kerajaan tampil dengan Belanjawan 2025 yang penuh strategi untuk memacu ekonomi rakyat, dengan lebih usaha giat serta bersasar bagi memartabatkan usahawan serta modal insan Bumiputera berkebolehan.
Kalau korang seorang usahawan, pekerja profesional atau pelajar yang mencari peluang lebih baik, belanjawan kali ini memang disasarkan untuk membantu korang.
Dengan penekanan kepada pekerjaan bernilai tinggi, pendidikan vokasional dan peluang perniagaan, ini adalah peluang besar untuk korang upgrade taraf hidup.
Fokus kerajaan adalah untuk memastikan Bumiputera bukan sekadar pemain sampingan, tapi menjadi tunjang utama dalam sektor ekonomi bernilai tinggi seperti teknologi, tenaga hijau dan penjagaan kesihatan. Ini apa yang ditawarkan untuk korang dalam Belanjawan 2025.
Insentif cukai ditawarkan kepada syarikat yang cipta peluang pekerjaan bernilai tinggi
Belanjawan 2025 memperkenalkan Kerangka Insentif Baharu untuk tarik pelaburan yang lebih bermakna. Fokus utama adalah aktiviti bernilai tinggi macam reka bentuk litar IC, AI, robotik, dan teknologi mampan.
Ada potongan cukai khas untuk institut pengajian tinggi swasta yang tawarkan kursus teknologi terkini.
MNE boleh dapat potongan cukai dua kali untuk pelaburan dengan pembekal tempatan dan ada dana RM100 juta untuk sektor E&E, kimia khusus dan peranti perubatan.
Kerajaan juga serius nak pastikan pembangunan ekonomi seimbang dengan insentif pelaburan khas di negeri seperti Sabah, Sarawak, Perlis dan Kelantan.
Galakan cukai untuk pelaburan ESG macam CCUS turut diperkenalkan. Untuk pelaburan strategik, dana RM1 bilion disediakan untuk tingkatkan bakat tempatan dan aktiviti bernilai tinggi.
Dengan insentif ini, ekonomi Malaysia bakal lebih maju dan mampan!
Pemerkasaan bumiputera dalam ekonomi melalui sokongan perniagaan di setiap peringkat
Pemerkasaan Bumiputera tetap menjadi salah satu fokus utama Belanjawan 2025. Melalui program pembangunan usahawan, kerajaan membantu meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi utama.
Belanjawan 2025 memperkukuh ekonomi Bumiputera melalui sokongan perniagaan di setiap peringkat, RM1.3 bilion untuk projek kecil G1-G4, dan 50 ekar tanah Bandar Malaysia dijadikan Tanah Rizab Melayu.
PNB dan PHB turut membangunkan tanah rizab untuk perumahan mampu milik dan kemudahan komuniti.
Malah, RM100 juta diperuntukkan untuk Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35), RM500 juta untuk usahawan MARA, dan kemudahan pinjaman RM185.5 juta bagi pembiayaan Islam, kaunseling dan pembangunan luar bandar.
Berpandukan Dasar TVET Negara 2030, Kerajaan telah menyediakan pelbagai platform untuk memperkasakan golongan Bumiputera melalui pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), latihan kemahiran dan sokongan perniagaan.
Ini juga termasuk penglibatan penawaran latihan oleh pemain-pemain sektor swasta seperti Proton untuk melahirkan tenaga insan yang memenuhi keperluan industri hari ini.
Selain itu, peruntukan khas untuk pekebun kecil kelapa sawit akan memastikan produktiviti terus meningkat, sekaligus memberi pulangan ekonomi yang lebih baik kepada komuniti Bumiputera luar bandar.
Nurul Zafirah Bahram, 33 tahun, berpendapat Belanjawan 2025 dijangka bakal dapat membantu mengurangkan jurang ekonomi antara Bumiputera dan kaum lain apabila lebih banyak geran, pinjaman mudah, dan insentif fiskal untuk perniagaan milik Bumiputera, khususnya dalam sektor teknologi, pertanian moden, dan ekonomi digital ditekankan.
“Kerjasama antara sektor swasta dan sektor awam perlu diperluaskan supaya dapat mengubah ekonomi bumiputera secara keseluruhan.” ujarnya.
Di samping itu, kerjasama antara agensi kerajaan seperti MARA dan TEKUN Nasional dijangka diperkukuh untuk memberikan latihan serta bimbingan berterusan kepada usahawan Bumiputera, menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.
Belanjawan 2025 fokus TVET untuk masa depan anak muda
Kerajaan turut melabur besar dalam pendidikan vokasional dan teknikal memastikan belia Bumiputera dilengkapi kemahiran yang relevan untuk masa depan.
Belanjawan 2025 memperuntukkan RM7.5 bilion untuk TVET, memberi tumpuan kepada kerjasama industri, latihan untuk belia rentan dan khidmat masyarakat.
Dengan akses yang lebih luas kepada TVET, anak muda Bumiputera bukan saja berpeluang meningkatkan taraf hidup sendiri, malah menyumbang kepada pembangunan negara.
Program-program ini akan memastikan Bumiputera terus menjadi sebahagian daripada tenaga kerja yang relevan dalam sektor teknologi, ekonomi hijau dan banyak lagi.
Geran RM50 juta disediakan untuk program ‘Anak Angkat ILKA’, potongan cukai atas sumbangan peralatan kepada institusi TVET, serta insentif kepada majikan yang menggaji OKU dan bekas banduan.
Pendidikan TVET turut diperkasa dengan RM1.2 bilion untuk kolej vokasional, RM500 juta pembiayaan PTPK untuk bidang utama dan RM200 juta melalui Program K-Youth oleh Khazanah.
Selain itu, GiatMARA menyediakan latihan untuk anak huffaz dan pekerja gig, manakala program MySIP dilanjutkan hingga 2030 untuk menggalakkan latihan industri.
Zarwatulhana Eddie, 35 tahun, berpendapat bahawa perancangan lebih mengetengahkan pendidikan vokasional dan teknikal merupakan satu langkah yang baik di mana golongan anak muda dapat mengembangkan nilai potensi diri mengikut tahap kemahiran sendiri.
“Jika pelajar dibentuk dari awal, maka akan terlahirlah generasi yang kreatif dan inovatif dalam pelbagai bidang.” ujarnya.
Perlindungan sosial untuk semua
Belanjawan kali ini memang tak main-main apabila soal keselamatan sosial, terutamanya reformasi pencen.
Belanjawan 2025 terus bantu rakyat dengan naikkan insentif i-Saraan KWSP kepada 20%, tertakluk maksimum RM500 setahun.
Program i-Suri pun diteruskan dengan caruman padanan kerajaan. Pekerja sendiri pula dapat skim keselamatan sosial dengan subsidi 70% caruman, siap ada peruntukan RM100 juta.
Tak cukup dengan itu, Skim Perlindungan Tenang tawarkan baucar RM30 untuk 2 juta penerima STR bagi perlindungan kematian, kemalangan dan bencana.
Malah, KWSP juga kaji skim baharu supaya simpanan boleh dipindah kepada ahli keluarga.
Pelepasan cukai untuk caruman Skim Persaraan Swasta dan anuiti dilanjutkan hingga 2030, dan pekerja asing juga diwajibkan mencarum KWSP secara berfasa. Semua ini demi masa depan rakyat dan keadilan sosial!
Masa untuk Bumiputera bersinar!
“Saya harap Kerajaan dapat memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil, memperkukuh sistem pendidikan dan latihan yang relevan dengan kehendak industri.” ujar Nurul Zafirah.
“Semoga bajet 2025 ini dapat dilaksanakan seperti yang dirancang di mana Kerajaan perlu memastikan bahawa segala dasar dan program yang dijanjikan ini dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan.” ujar Zarwatulhana.
Belanjawan 2025 bukan sekadar angka, ia adalah janji untuk menjadikan Bumiputera lebih berdaya saing dalam ekonomi yang berkembang pesat.
Ini bukan sekadar pelan ekonomi tetapi peluang untuk tingkatkan taraf hidup, cipta kejayaan dan jadi pemain utama dalam ekonomi negara.