Baru-baru ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengadakan lawatan ke rumah salah seorang anggota tentera untuk melawat isterinya yang menghidapi penyakit berkaitan saraf di Port Dickson.
Menurut Pegawai Waran 2 Hazizi Jebeng, isterinya mula dikesan menghidap penyakit
Osteoporosis iaitu sejenis penyakit berkaitan saraf tulang belakang dan Arterairtis hampir tiga tahun lalu ketika menerima rawatan oleh Pakar Perubatan di Hospital Port Dickson.
Terharu terima lawatan Menteri
Menurut Hazizi, dia sebenarnya terharu dan tidak menyangka yang Menteri (Kanan) Pertahanan datang dan melawat isterinya, Siti Mazidah Mokhtar @ Zulkifli, 38, yang sudah lama sakit di rumahnya di Taman Belida, Port Dickson.
Tambahnya, “Dua tahun selepas penyakit tersebut dikesan, pada 26 Oktober 2020, Pakar Perubatan menetapkan dia perlu menjalani rawatan ‘Magnetic Resonance Imaging’ (MRI) di unit Radiologi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban”.
Selain itu, isterinya juga sudah menjalani pembedahan pada tulang (NRI) kerana tulang bengkak dan terdapat masalah radang pada bahagian ‘Lumbar Sacral’. Beliau juga masih menjalani rawatan berkala di Jabatan Orthopedik di Hospital Port Dickson, serta sedang menunggu giliran temujanji daripada pihak Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya.
Jelas bapa kepada 3 anak ini, bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak setakat ini dapat mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung mereka.
Lawatan ini turut disertai oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi yang kemudiannya turut meraikan Ismail Sabri dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Pemerintahan Latihan Dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).