Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro, berharap permohonan pertukaran sekolah yang dibuat oleh isterinya, Nur Afifah Amin, tahun ini dapat diluluskan.
Artikel Berkaitan: Tunai Solat Tepi Jalan Ketika Meniaga Petai. Ajak Shiro Minta Netizen ‘Support’ Bisnes Pakcik Ini
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Ku Inginkan Dia Sehingga Menutup Mata’ – Isteri Ajak Shiro Beri Ucapan ‘Sweet’ Sempena Ulang Tahun Perkahwinan Ke-12
Isteri terpaksa ambil cuti sakit
Memetik laporan Harian Metro, permohonan itu dibuat disebabkan masalah tulang belakang yang dihidapi oleh isterinya, selain jarak perjalanan ke tempat kerja yang melebihi 152 kilometer (km) setiap hari.
Menuruti pelakon drama ‘Keluarga Instafamous’ itu, isterinya terpaksa mengambil cuti sakit selama dua minggu kerana perlu menjalani rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor.
Isteri saya sudah membuat permohonan pertukaran sekolah lebih lima kali sejak dua tahun lalu. Namun, mereka hanya maklumkan permohonan tidak berjaya tanpa memberikan sebarang alasan.
Sebagai suami sudah tentu saya risaukan keselamatan isteri yang berulang-alik dari Petaling Jaya ke Nilai, Negeri Sembilan selama dua tahun ini. Ditambah pula, dia kini mengalami masalah tulang belakang hingga menyebabkan dia terpaksa cuti sakit selama dua minggu dan perlu menjalani rawatan fisioterapi setiap dua hari sekali.
Isteri saya memang tak boleh nak memandu kereta seperti dulu. Nak buat kerja berat pun doktor tak izinkan sebab bimbang akan memberi tekanan dan masalah kepada tulang belakangnya nanti.
Saya buat hantaran di media sosial bukan sengaja nak meraih simpati, tapi sekadar nak berkongsi saja. Tak sangka pula ramai yang mengalami nasib sama, malah ada kakitangan kerajaan yang lebih dahsyat ujian yang mereka perlu hadapi apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga bertahun-tahun lamanya.
Tidak menyalahkan mana-mana pihak
Tambah penyampai radio itu, luahan kekecewaan yang dibuat tersebut tidak bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya, dia ingin memberitahu bahawa isterinya juga melalui proses permohonan yang sama tanpa sebarang bantuan ‘orang dalam’.
Ada yang beranggapan kalau dari latar belakang artis boleh guna orang dalam untuk mendapat kelulusan. Hakikatnya isteri saya melalui proses yang sama dan menunggu kelulusan daripada pihak bertanggungjawab.
Isteri saya mohon ini pun bersebab. Sekarang ini sudah tahap jatuh sakit. Dia pun tak naklah menyusahkan mana-mana pihak seperti tiba lewat di tempat kerja dan risau akan dikenakan tindakan tatatertib.
Sementara itu, Ajak sudah cuba memujuk isterinya untuk berhenti kerja, namun ini adalah pilihan dan minat isterinya, jadi dia tidak boleh untuk menghalang.
Saya sudah cuba pujuknya untuk berhenti kerja, tapi ini yang dia minat. Dia masuk universiti pun sebab nak jadi pendidik, takkan saya nak halang. Cuma saya mohon permohonan terakhir yang dilakukan pada tahun ini mendapat kelulusan.
Terdahulu, Ajak pernah meluahkan rasa kecewa di media sosial apabila permohonan pertukaran sekolah yang dibuat isterinya sejak dua tahun lalu tidak diluluskan pihak bertanggungjawab.
Sumber: Harian Metro