Anda tahu apa maksud ‘anugerah’?
Melalui definisi oleh Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka (Kamus Pelajar Edisi Kedua), ‘anugerah’ bermaksud hadiah atau pemberian daripada orang yang lebih tinggi atau besar darjatnya. Contohnya, Shila Amzah telah merangkul anugerah bagi kategori “Lagu Terbaik” baru-baru ini di Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19). Atau anda masih lagi ingat tentang kemenangan Syamsul Yusof yang berjaya merangkul 5 trofi di Anugerah Blockbuster yang berlangsung Oktober lepas?
Jadi, anda sebagai peminat atau mungkin juga hanya sekadar pembaca setia OHBULAN!, bersetuju atau tidak dengan kemenangan dan anugerah yang diberikan kepada pemenang yang dipilih? Tidak kiralah samada layak atau tidak bagi anda, tetapi jika hasil seni mereka telah diiktiraf samada oleh seseorang, peminat atau pun sekumpulan ahli profesional, wajarkah ia dipersoalkan lagi?
Melalui kenyataan Presiden Seniman, Zed Zaidi menganggap lambakan anugerah dalam industri bukanlah pengiktirafan sebenar kepada pemenang. Baginya, sesebuah anugerah itu tidak berbaloi jika sekadar trofi yang diberikan kepada pemenang tanpa disertakan wang ganjaran.
“Kalau setakat nak buat majlis anugerah dengan menyampaikan trofi kepada pemenang, itu hanya buang masa dan tiada apa yang boleh dibanggakan dengan segenggam trofi. Sepatutnya, kemenangan itu harus disertakan dengan ganjaran wang tunai atau hadiah menarik sebagai pembakar semangat pemenang,” jelas Zed melalui Sinar Harian.
Zed turut memberitahu bahawa majlis anugerah yang hanya memberikan trofi tanpa ganjaran, adalah satu penipuan secara tidak langsung oleh pihak penganjur.
“Anugerah sebegitu hanyalah satu penipuan tidak langsung kerana pemenang tidak dapat apa-apa sedangkan penganjur memperoleh jutaan ringgit dari majlis yang dianjurkan. Adil ke?,” katanya yang turut memuji konsep Anugerah Bintang Popular (ABP).
Lain pula bagi Jurey Latiff Rosli, memegang jawatan sebagai Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), beliau menganggap lambakan anugerah di Malaysia adalah satu pembaziran.
Baginya, jika okjektif sesebuah anugerah itu hampir sama dengan anugerah-anugerah yang lain, lebih baik ditumpukan pada satu anugerah sahaja dengan bidang masing-masing dan anjurkan secara besar-besaran dan berprestij.
“Buat apa nak kenalkan banyak anugerah yang lebih kurang sama sedangkan kita sudah mempunyai anugerah yang gah sebelum ini. Lebih baik peruntukan majlis anugerah itu digunakan untuk perkara lain yang lebih penting dan berdaya saing,” tegas Jurey Latiff Rosli melalui Sinar Harian.
Bukan mahu bersetuju atau pun menidakkan kenyataan Zed Zaidi dan Jurey Latiff. OHBULAN! berpendapat, kenyataan Norman Abdul Halim harus diambil berat. Beliau yang merupakan Presiden Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan juga Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menjelaskan bahawa industri tidak akan rugi walau banyak mana pun anugerah yang dianjurkan.
“Saya tidak rasa kewujudan pelbagai anugerah itu membawa kerugian pada industri kerana di majlis anugerah seluruh karyawan akan berkumpul dan berkongsi kegembiraan setelah penat memerah tenaga,” katanya.
Beliau juga berpendapat bahawa industri akan menjadi semakin rancak dengan kewujudan pelbagai anugerah.
“Banyak mana pun majlis anugerah, ia tidak akan merugikan industri,” tegasnya melalui Sinar Harian.
Secara logiknya, jika seseorang pelakon atau penyanyi atau apa saja kerjaya seseorang itu didalam industri hiburan, pemberian anugerah adalah satu pengiktirafan terhadap hasil penat lelah mereka dan siapa tahu, selepas diberi anugerah, lebih banyak tawaran lakonan atau nyanyian akan diberikan.
Banyak contoh yang boleh OHBULAN! berikan. Lihat saja Nadiya Nisaa yang kini hangat berlakon dengan Aaron Aziz didalam drama Adam & Hawa. Pelakon ini benar-benar bersinar selepas berjaya memenangi anugerah Pelakon ‘Pembantu Wanita Terbaik Filem’ di Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011).
Sepatutnya, sebagai pemegang jawatan-jawatan tinggi didalam industri, seseorang itu haruslah berfikiran terbuka dan sentiasa berfikiran positif. Jika ada kekurangan pada sesuatu perkara baru, hulurkan bantuan, canangkan idea-idea bernas. Bukannya ‘menghentam’ sana-sini. Apa kata anda?