Dari awal bulan Ramadan tahun ini, ramai pembeli berkongsi di media sosial tentang makanan yang dibeli telah rosak dan tidak berkualiti namun tetap dijual oleh peniaga di bazar.
Artikel Berkaitan: 8 Bazar Ramadan Paling Popular & Mencuri Tumpuan Netizen Di Lembah Klang!
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Korang Tak Pandai Masak, Janganlah Meniaga’ – Lelaki Patah Gigi Makan Popia Liat Dibeli Dari Bazar Ramadan?
Penjelasan mufti
Memetik laporan Malaysia Gazette, Mufti Pulau Pinang iaitu Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan bahawa terdapat hadis di dalam Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, barang siapa menipu (di dalam perniagaan) maka dia bukanlah daripada golongan kami.
Erti hadis ini adalah seseorang yang menipu ketika menjual atau membeli beli sesuatu barang dengan tidak melahirkan keadaan sebenar barang jualannya kepada pembeli bererti dia telah melakukan satu penipuan.
Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan tentang hukum perbuatan tersebut.
Hukum perbuatan begini adalah haram di sisi syariat Islam dan di dalam al-Quran terdapat ancaman dengan Neraka Wail ke atas para peniaga yang menipu timbangan atau sukatan.
Maka secara analogi penipuan dalam menjual makanan yang tidak berkualiti atau rosak, lebih-lebih lagi kepada pelanggan yang membelinya untuk berbuka puasa.
Beliau juga berasa kesal dengan sikap segelintir peniaga yang hanya memikirkan tentang keuntungan semata-mata selain kecewa dengan iman dan akhlak manusia yang semakin menipis.
Sepatutnya pada bulan yang mulia ini umat Islam banyak melakukan infaq dan memberi jamuan iftar kepada umat Islam yang berpuasa.
Tetapi dukacitanya ada peniaga yang tergamak menjual makanan basi di bazar Ramadan dan ini termasuk dalam kategori perbuatan tidak beretika yang sudah pasti hukumnya adalah haram.
Ia termasuk antara maksud memakan harta manusia secara batil atau salah yang dilarang di dalam al-Quran dan hadis.
Dalam pada itu, Wan Salim menitipkan nasihat kepada para peniaga supaya tidak menipu di dalam urusan perniagaan mereka dengan memupuk rasa takut kepada Allah SWT.
Ingatlah keuntungan yang sedikit dan diberkati lebih baik daripada keuntungan banyak tetapi mengundang dosa di samping tiada keberkatan dalam kehidupan.
Sumber: Malaysia Gazette