Sebentar tadi bertempat di Hotel Royale Bintang, Damansara berlangsungnya sidang akhbar antara dua selebriti jelita, Anzalna Nasir dan Neelofa. Kedua-dua bekas peserta Dewi Remaja ini telah mengalami sedikit masalah apabila kenyataan Anzalna di Berita Harian bertarikh 10 Jun 2012 dikatakan telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya tanpa bukti yang kukuh.
Disebabkan ini, Neelofa telah mengambil keputusan dengan mengupah peguam untuk menyelesaikan isu kenyataan yang dibuat Anzalna. Atas keprihatinan Persatuan Seniman, Anzalna telah diberikan seorang peguam khas yang juga salah seorang dari ahli Persatuan Seniman. Menurut Presiden Seniman, Zed Zaidi, beliau telah mengambil keputusan ini demi menjaga imej artis-artis tempatan.
“Bagi saya, benda ini tak perlu dipanjangkan lagi dan tak perlu ada cerita. Persatuan boleh membantu menjadi medium antara kedua selebriti ini.
“Melalui persatuan, imej artis boleh dijaga dan bagus untuk semua artis tempatan yang lain. Pihak Seniman juga tidaklah ‘bias’ walaupun Anzalna sendiri menggunakan peguam Persatuan Seniman. Ini hanyalah sekadar membantu ahli persatuan saja,” ujar Zed Zaidi.
Kedua-dua selebriti, Anzalna & Neelofa telah pun selesai berdamai dan surat kedua-dua belah pihak telahpun bersetuju untuk tidak memanjangkan lagi isu yang berlaku. Namun begitu, kedua-dua mereka dilihat tidak bersalam damai.