Vokalis kumpulan EYE yang dikenali sebagai Izam meluahkan rasa syukur kerana masih menerima undangan untuk melakukan persembahan meskipun dirinya kini berdepan dengan masalah kesihatan.
Artikel Berkaitan: Azan Scan Kesal Ada Pihak Ambil Kesempatan, Nafi ‘Hilang’ Selepas Gegar Vaganza – ‘Nyanyi Sejam Tapi Offer Rendah’
Syukur masih dapat tawaran
Ketika ditemui OhBulan!, Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad berkata, dia juga berasa sangat bersyukur kerana bayaran yang ditawarkan juga masih setimpal mengikut kadar ‘rate’ semasanya sebagai seorang penyanyi.
Alhamdulillah ada masanya dalam seminggu boleh dapat empat ke lima tawaran persembahan dan kebiasaannya rate saya tiga lagu dalam RM5,000 ke RM6,000.
Penganjur masih mengikut ‘rate’ diberikan dan kalau tiada persembahan biasanya saya hanya berehat di rumah.
Izam berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin KPJ Healthcare & mStar Baek yang diadakan di Menara KPJ pada petang Selasa.
Dalam pada itu, pelantun yang popular menerusi lagu ‘Izinkan Selamanya Namamu Dihati’ ini memaklumkan bahawa dia akan berusaha sedaya upaya untuk menyara keluarganya dengan kudrat yang ada meskipun mempunyai masalah kesihatan yang membimbangkan.
Ini cara saya tanggung keluarga. Saya ada dua isteri, tujuh orang anak. Jadi, ada dua buah rumah perlu dibayar setiap bulan.
Tanggungan saya besar, takkan saya nak harap sumbangan orang sahaja. Masa saya sakit hari tu takpalah. Sekarang saya dah boleh bergerak.
Selagi saya berdaya, saya boleh bergerak dan menyanyi walaupun tidak berkemampuan seperti dulu. Tapi bolehlah sekadar untuk saya mencari rezeki.
Selain Izam, antara selebriti yang menerima bantuan tempoh hari termasuklah Isma Aliff, Dwan dari kumpulan Olan, Allahyarham Jaafar Onn dan bapa kepada arwah penyanyi Along Spoon yang dikenali sebagai Pak Engku.